Rabu, 7 Oktober 2015

terapi realiti



TERAPI REALITI

Terapi realiti adalah satu bentuk terapi yang agak baru dalam kaunseling. Terapi ini diasaskan oleh William Glasser seorang psikologis di California dalam tahun 1965. realiti adalah selari. Terapi realiti adalah merujuk kepada dunia fenomena klien dan menekankan kepada cara yang subjektif iaitu klien akan melihat dan bertindakbalas dengan dunia persekitaran mereka melalui kaawalan penilaian dalaman internal locus of evaluation. Glasser (1985) telah menekankan bahawa manusia melihat dunia melalui lima keperluan asas genetik dan bukannya dunia seperti ianya yang sebenar.  Terapi realiti telah menegaskan bahawa manusia mempunyai kebebasan, boleh membuat pilihan dan bertanggungjawab terhadap pilihan tersebut. Manusia boleh mengawal secara berkesan kehidupan ini jika mereka bersedia untuk berusaha menentukan matlamat. Oleh itu dengan meletakkan prinsip-prinsip teori kawalan dalam, manusia boleh mencegah banyak masalah yang menjurus kepada terapi. Terapi realiti berorientasikan tingkah laku secara menyeluruh yang melibatkan komponen doing, thinking, feeling dan physiology. Hal ini bermakna klien bertanggungjawab untuk memilih bukan sahaja apa yang mereka lakukan tetapi apa jua yang mereka fikirkan, rasai, dan mengalaminya secara fizikal. Terapi ini juga menekankan secara langsung kepada peristiwa-peristiwa masa lampau. Ia juga menolak konsep sakit jiwa yang dipolopori oleh teori psikoanalisis. Matlamat terapi realiti ialah untuk menyediakan suatu suasana yang boleh membantu klien bagi membina kekuatan psikologi (psychology strength) untuk menilai atau menghargai tingkah laku semasa. Ianya boleh digunakan dalam terapi atau kaunseling individu, kerja-kerja sosial, pendidikan, terapi kelompok, , kaunseling keluarga, kaunseling pemulihan, pengurusan institusi dan perkembangan serta kemajuan masyarakat.

Latar Belakang Tokoh
William Glasser merupakan pengasas kepada terapi realiti. Beliau dilahirkan di Cleveland Ohio, California pada tahun 1925. Beliau merupakan anak yang ketiga dan yang bongsu dalam keluarganya. Bagi Glasser , zaman kanak-kanaknya merupakan zaman yang mengembirakan dan semasa di sekolah beliau sangat berminat bermain muzik dan dalam bidang sukan. Pada tahun 1944, ketika berumur 19 tahun, Glasser telah mendapat ijazah pertamanya dalam bidang kejuruteraan kimia dari Case Institute of Technology. Empat tahun kemudian beliau mendapat ijazah Master dalam Clinical Psychology dari Case Western Reserve University. Namun tesis untuk mendapatkan PhDnya telah ditolak. Semasa berumur 28 tahun(1953), Glasser mendapat ijazah perubatan dari universiti yang sama. Pada tahun 1956, Glasser telah menjadi ketua psikatarist di Ventura School for Girls, iaitu sebuah institusi yang dikendalikan oleh kerajaan California untuk merawat gadis-gadis yang rosak moral dan melanggar peraturan atau undang-undang.Dalam tahun 1961, Glasser menghasilkan bukunya yang pertama iaitu Mental Health or Mental Illness yang menjadi asas kepada teknik dan konsep terapi realiti. Selama tempoh dua belas tahun di Ventura School, Glasser telah memajukan lagi terapi realitinya dengan mengendalikan program-program yang berjaya di sekolah berkenaan. Istilah realiti terapi digunakan untuk pertama kalinya oleh Glasser dalam manuskripnya yang bertajuk “Reality Therapy” : A Realistic Approach To The Young Offender” dalam tahun 1964. Pada tahun 1965, bukunya yang terkenal bertajuk Reality Therapy : A New Approach To Psychiatry telah diterbitkan.
Dalam tahun 1966, Glasser mula mengaplikasikan idea-idea realiti terapinya dalam sistem pendidikan di California. Idea-idea ini akhirnya telah dimuatkan ke dalam bukunya yang ketiga iaitu “Schools Without Failure”(1969). Pada tahun 1968, Glasser telah mengasaskan penubuhan Institute For Reality Therapy do Los Angeles. Institut ini menawarkan kursus-kursus dan latihan untuk para doktor, ahli-ahli fiziks, pegawai perundangan, pegawai polis, jururawat, peguam, hakim, guru dan kaunselor. Dua tahun kemudian iaitu tahun 1970, William Glasser La Verne College Center ditubuhkan di University of La Verne di California Selatan untuk menyediakan pengajian luar kampus kepada guru-guru untuk mendapatkan ijazah.
Bermula tahun 1981, Glasser telah menjalinkan idea asalnya dengan teori kawalan (Control Theory) yang menegaskan bahawa tingkah laku dijana dari dalam individu. Apa yang diperoleh dari luar hanyalah maklumat (information). Bukunya yang bertajuk Stations of the mind(1981) dan Control Theory : A New Explanation of We Control Our Lives(1984) telah menunjukkan pendirian teori ini dan menghuraikan bagaimana otak manusia mempengaruhi persepsi dalaman.
Buku-buku lain yang dihasilkan oleh Glasser ialah The Identity Society(1972), Positive Addiction(1976), Control Theory In The Claaroom(1986), The Quality School :Managing Students Without Coercion(1990) dan The Quality School Teacher(1993). Glasser juga sering memberikan kuliah atau ceramah dan bengkel di peringkat antara bangsa mengenai aplikasi teori kawalan dan realiti terapi.

 Latar Belakang Terapi
Terapi Realiti merupakan satu bentuk terapi yang agak baru dalam dunia kaunseling. Ianya telah diasaskan oleh William Glasser iaitu seorang psikologis dari California pada tahun 1965 ekoran daripada ketidaksetujuan Glasser terhadap teori psikoanalitik.
Kottler dan Brown( )menyatakan bahawa terapi realiti merupakan suatu pendekatan mengajar yang menekankan kepada penyelesaian masalah, tanggungjawab peribadi dan keperluan untuk menangani atau mengatasi keperluan ‘realiti’ seseorang individu. Menurutnya lagi terapi realiti adalah berdasarkan kepada assumsi atau andaian bahawa setiap individu perlu untuk membina identiti sama ada berjaya atau gagal. John J. Pietrofesa(1984), berpendapat bahawa terapi realiti berasaskan kepada andaian terhadap sesuatu tingkah laku sama ada menolong atau menghalang untuk memenuhi keperluan asas manusia. Keperluan tersebut merupakan keperluan untuk disayangi dan menyayangi orang lain dan keperluan merasa dihargai dan menghargai orang lain. Tingkah laku yang dapat dipenuhi dikatakan bertanggungjawab dan yang gagal adalah sebaliknya. Tingkah laku yang tidak bertanggungjawab akan membina identiti gagal dan seterusnya akan menghadapi kegagalan. Maka kaunselor adalah membina identiti individu itu ke arah kejayaan.
Glading (1993), berpendapat terapi realiti menegaskan baahawa perubahan individu dilakukan melalui tindakan dan pemikiran. Beliau mencadangkan bahawa dunia dalaman individu adalah yang paling berpengaruh dalam menentukan tingkah laku yang telah dipilihya. Terapi ini juga berorientasikan tindakan (action oriented) yang bersifat konkrit, mengajar, mengarah dan kognitif.
Oleh itu secara keseluruhannya kita dapati, teori realiti lebih menekankan kepada keperluan untuk memenuhi kehendak psikologi (a fulfilments of psychology needs). Secara amya didapati terapi realiti adalah untuk menyediakan individu dalam susasana yang boleh membantu mereka membina kekuatan psikologi untuk menilai atau menghargai tingkah laku semasa. Terapi ini juga boleh digunakan dalam kaunseling individu, kaunseling keluarga, kaunseling pemulihan, kaunseling kelamin, pendidikan, kerja-kerja sosial, terapi kelompok, crisis intervention, pengurusan institusi dan perkembangan kemajuan masyarakat.

Pandangan terapi Tentang Kejadian Manusia
Menurut William Glasser (1965), terdapat tiga andaian terhadap kejadian manusia berdasarkan terapi realiti. Diantaranya ialah :
1 Manusia berfungsi pada tahap atau keadaan kesedaran tanpa dipengaruhi oleh kuasa tidak sedar.
2 Dalam diri setiap manusia terdapat dorongan yang sihat. Dorongan ini mengandungi dua tahap iaitu dalam bantuk fizikal dan psikologikal.
Dalam bentuk fizikal, merupakan suatu keperluan asas kepada manusia seperti makan minum dan tidur. Manusia juga dipengaruhi oleh keinginan untuk kelangsungan hidup (survival). Manakala dalam bentuk psikologikal pula, terbahagi kepada empat bahagian iaitu :
a. Rasa kepunyaan (belonging). Rasa kepunyaan ini misalnya seperti keperluan kepada rakan, keluarga dan kasih sayang.
b. Kuasa iaitu suatu keperluan penghargaan kendiri , dihargai dan bersaing.
c. Kebebasan (freedom) iaitu suatu keinginan untuk membuat pilihan dan keputusan.
d. Keseronokan iaitu suatu bentuk keperluan untuk bermain, berehat, ketawa, gembira dan lain-lain .
Keempat-empat keperluan ini akan membawa kepada identiti diri seseorang individu. Ianya akan tercapai apabila individu itu diterima oleh orang lain atau masyarakat. Yang paling penting dalam keperluan psikologikal ialah apaabila seseorang itu akan mengalami rasa cinta dan rasa dihargai.
Menurut Glasser, seseorang individu yang tidak ada rasa dicintai akan mengalami kegagalan identiti, personaliti tidak seimbang, kurang keyakinan diri dan cepat putus asa. Dalam suasana mencapai identiti diri ini terdapat dua waktu yang kritikal dalam kehidupan di zaman kanak-kanak di antara umur 2 hingga 5 tahun dan 5 hingga 10 tahun.
Dalam peringkat umur antara 2 hingga 5 tahun , proses sosialisasi awal berlaku seperti berhubung dengan ibu bapa, adik beradik dan rakan sebaya. Pada peringkat ini kanak-kanak sudah mula mengalami perasaan kecewa dan kerisauan. Pada peringkat ini, kanak-kanak memerlukan kasih sayang, bimbingan, dan penerimaan dari ibu bapa. Jika ini berlaku maka kanak-kanak itu tadi akan mula membentuk identiti yang kekal.
Pada peringkat umur 5 hingga 10 tahun pula, kanak-kanak akan terlibat dengan alam persekolahan dan mula memperolehi pengetahuan dan membentuk konsep diri. Di peringkat ini, kanak-kanak akan menghadapi masalah sosialisasi dan masalah pembelajaran . Dalam kontek pembelajaran , sekiranya individu tidak belajar sesuatu pada masa atau peringkat muda maka individu itu boleh belajar di waktu selepas itu.






3. Individu mampu menentukan dan mengawal diri
Mengikut Gladding (1993), dalam pertumbuhan individu masalah timbul apabila manusia itu tidak bertanggungjawab tentang sikap mereka. Manusia perlu disayangi dan menyayangi, berasa dihargai, gembira dan mampu mengawal keadaan sekeliling di atas sebab tertentu. Ee Ah Meng(1989), telah mengatakan bahawa ‘untuk menghuraikan tingkah laku dan pandangan mengenai ketenteraman jiwa seseorang Glasser menggunakan istilah seperti ‘memuaskan’ , ‘telah maju’ ,’baik’ dan ‘moral’. Menurutnya lagi, bagi memperoleh harga diri kita perlu mempelajari cara memperbaiki diri kita sekiranya kita telah melakukan kesilapan sebaliknya kita hendaklah memuji diri kalau melakukan sesuatu yang betul.Mengikut Muhd Mansur Abdullah (1993), setiap manusia di antara kita membentuk keperibadian di dalam penglibatan kita dengan orang lain dan dengan imej diri sendiri. ‘ Kuasa pertumbuhan akan membantu kita mencapai identiti yang berjaya. Natijahnya, penderitaan peribadi hanya boleh diubah jika berubahnya keperibadian itu sendiri kerana individu itu mampu mengubah nasib, cara hidup, perasaan dan tingkah laku mereka. Manusia itu menolak dunia sekelilingnya apabila menghadapi kekecewaan kehendak diri. Mereka mungkin kehilangan tujuan sebenar, hilang kebolehan bagi melihat keadaan nyata yang sebenar. Mengikut Corey(1988), dalam pembentukan identiti masing-masing individu akan mengembangkan keterlibatan dengan orang lain dan dengan bayangan diri yang dengannya individu itu akan merasa relatif berhasil atau sebaliknya. Manusia mencakupi pernyataan bahawa sesuatu kekuatan pertumbuhan itu mendorongnya untuk berusaha mencapai sesuatu identiti keberhasilan. “Individu boleh mengubah cara hidup, perasaan dan tingkah lakunya.Idividu juga mampu mengubah identitinya. Justeru itu, perubahan identiti bergantung kepada perubahan tingkah laku”.Mengikut Pietrofesa Hoffman dan Splete (1984), manusia mempunyai dua keperluan asas. Jika keperluan itu tidak dapat dipenuhi maka akan wujudlah kekecewaan. Dua keperluan asas itu ialah keinginan untuk menyayangi dan disayangi dan juga keperluan keinginan untuk merasakan kita berguna untuk diri sendiri dan juga orang lain. Bagi Glasser, beliau percaya bahawa kematian merupakan keputusan yang dibuat oleh seseorang yang kurang kasih sayang di awal kehidupannya. Seterusnya kekurangan sepenuhnya kasih sayang yang mungkin menyebabkan kekecewaan yang teruk sehingga seseorang itu membunuh diri dan sakit jiwa.Menurut Wubbolding dlm John J. Pietrofesa et, al.(1984), kejayaan identiti seseorang itu berkembang dalam beberapa peringkat:
a. Peringkat ‘lakukan atau buat’ iaitu orang akan mula untuk mengerjakan sesuatu. Maknanya ia memulakan suatu harapan untuk mempertingkatkan diri tanpa mengira sekecil manapun usaha permulaan tersebut.
b. Perkembangan identiti kejayaan, iaitu pemikiran yang positif. Pada peringkat ini, pertama berkelakuan membina iaitu bersikap tegas dalam menunjukkan diri dan meningkatkan penampilan diri serta mengambil kira kebajikan orang lain. Kedua, berfikiran positif iaitu berkebolehan menggunakan situasi yang paling baik dan mengembirakan, percaya dan penerimaan diri untuk mengawal pembangunan atau perkembangan yang positif secara berterusan. Ketiga, berfikiran rasional dan tidak rasional. Seseorang itu akan dapat mengenal pasti satu masalah dan isu dengan beralasan secara keseluruhan dan matang. Keempat, kesihatan aktiviti fizikal diikuti dengan diet yang berpatutan, seterusnya mendapat senaman yang bersesuaian dengan keperluan fizikal.
c. Peringkat mengisi kekosongan yang ada pada diri seseorang dengan merasakan suatu yang seronok, merasakan kasih sayang serta disayangi oleh orang lain. Seseorang itu juga harus merasakan kebolehan menjalankan kerja dan mempunyai harga diri.
Menurut John J. Pietrofesa et,al (1984), bahawa manusia
akan menderita akibat kegelisahan, menyalahkan diri sendiri, kemuraman dan kemarahan dan mungkin akan tersingkir dari masyarakat apabila gagal mendapat kasih sayang.
Mengikut Corey(1982), walaupun faktor persekitaran mempunyai pengaruh manusia dalam membuat keputusan tetapi perilaku itu bukan disebabkan olehnya. Menurutnya lagi, semua sikap motivasi dalaman seseorang berpandu kepada keinginannya untuk mencapai sesuatu.
Mohd Salleh Lebar (1993), mengandaikan bahawa manusia apabila menerima kasih sayang dan memberikan kasih sayang adalah penting bagi dirinya dan juga orang lain. Beliau juga berpendapat bagi memperolehi harga diri seseorang itu perlu memperbaiki dirinya dahulu dari kesilapan. Kegagalan menjaga harga diri menyebabkan seseorang itu menghadapi masalah. Oleh itu manusia perlukan kasih sayang dan memperolehi harga diri yang sewajarnya.

 Konsep-konsep Utama Terapi Realiti

Mengikut Amir Awang (1987), terapi realiti berbeza dengan teori-teori kaunseling dan psikoterapi yang lain kerana ia tidak mempunyai konsep-konsep tertentu. Walau bagaimanapun ia mempunyai ciri-ciri tertentu. Di antaranya ialah :
• Terapi realiti menekankan bahawa tingkah laku yang tidak siuman adalah disebabkan pengabaian tanggungjawab. Menurutnya, apabila individu itu tidak melaksanakan tanggungjawabnya maka akan menyebabkan timbulnya tingkah laku yang bilazim.
• Terapi realiti juga memberi penumpuan kepada tingkah laku dan bukannya perasaan dan sikap. Menurut terapi ini apabila tingkah laku itu berubah maka sikap dan perasaan akan turut berubah.
• Tumpuan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku ke atas klien pada masa kini. Peristiwa yang lampau dan pada masa depan tidak diberi perhatian kerana sejarah yang lalu tidak boleh diubah. Begitu juga masa depan boleh menimbulkan kebimbangan semata-mata.
• Terapi realiti juga menekankan aspek-aspek positif seperti potensi individu, kejayaan, kelebihan dan kualiti positif yang ada pada individu tersebut. Melihat individu sebagai positif dan beroperasi dan bukan sebaliknya.
• Menggalakkan individu atau klien menilai tingkah lakunya sama ada yang positif atau negatif. Tingkah lakunya akan berubah setelah mengenal pasti tingkah laku itu dan ini akan menyedarkan individu itu tentang punca kegagalan pada masa kini.
• Terapi realiti ini juga menitikberatkan tanggungjawab. Sikap bertanggungjawab perlu dipelajari secara terus menerus sepanjang masa kehidupan.
• Persetujuan di antara kaunselor dan klien perlu dipatuhi bagi mencapai matlamat dan memenuhi keperluan individu tersebut.
Muhd Mansur Abdullah(1993) telah mengemukakan beberapa konsep dalam terapi.. Diantaranya ialah meletakkan kepentingan utama pada perasaan klien dalam menilai tingkah lakunya agar dapat menentukan siapakah yang menyebabkan berlakunya kegagalan dalam kehidupannya. Perubahan tingkah laku juga adalah sangat penting. Sekiranya klien menyedari bahawa mereka tidak mendapat keperluan yang diinginkan maka tingkah laku yang ditonjolkan itu merupakan pemusnah diri.
Mengikut Gibson dan Mitchell (dalam John J. Schmidt (1996) terapi realiti menunjukkan bahawa kaunseling adalah kaedah pengajaran yang istimewa atau latihan mengajar seseorang individu tentang apa yang sepatutnya dipelajari semasa hidup yang normal pada masa yang singkat.
Secara menyeluruhnya, terapi ini dapat diaplikasikan di sekolah, dalam pentadbiran, dan kelas bimbingan dalam kumpulan. Keberkesanannya telah didokumentasikan dalam beberapa idea termasuk bekerja bersama pelajar istimewa, konsep kendiri pelajar dan hala tuju diri pelajar.


 Matlamat Terapi Realiti

Pietrofesa,J.J. (1984), telah menjelaskan bahawa terapi realiti adalah untuk membantu mereka yang hanya mencari keseronokan sahaja dan mengabaikan dunia realiti.
Kottler dan Brown (1996) pula menyatakan terapi ini menggalakkan klien bermotivasi, bertanggungjawab terhadap rancangan tindakannya ke arah perubahan tingkah laku membina dan identiti yang berjaya.
Samuel T.G.(1993), pula menjelaskan antara lain matlamat terapi realiti ialah:
• Membantu klien memperjelaskan apa yang mereka mahu dalam hidupnya.
• Membantu klien mengenalpasti kekuatan dan kelemahan diri serta sokongan yang ada di sekelilingnya dan juga bentuk halangan-halangan yang wujud.
• Membantu klien agar mantap dari psikologi dan lebih rasional dalam membuat tindakan dan pemikiran.
Corey. G .(1982), menyatakan antara lain matlamat terapi realiti ialah :
• Secara holistiknya matlamat terapi ini adalah untuk membantu individu mencari jalan yang lebih berkesan bagi memenuhi keperluan mereka dari segi rasa kepunyaan, kebebasan, berkuasa dan berseronok.
• Memfokuskan kepada apa yang klien sedar dan membantu klien meningkatkan kesedaran itu.

Corsini R.J. (1983), menyatakan bahawa “tidak kira bagaimana kejam atau ganas dan luar biasa sesuatu kejadian itu yang membawa kepada tingkah laku seseorang, kita harus menjelaskan kepadanya bahawa kejadian yang lalu tidak boleh dijadikan alasan untuk bertingkah laku yang tidak sepatutnya. Tidak kira apa yang terjadi kepadanya di masa lalu, dia harus mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap apa dilaksanakannya sekarang”
Koeswara (1988), menjelaskan beberapa matlamat terapi realiti ialah :
• Motif umum terapi adalah membantu seseorang bagi mencapai autonominya.
• Membantu orang-orang dalam menentukan dan memperjelaskan tujuan-tujuan mereka.
• Membantu klien dalam menjelaskan cara-cara mereka menghambat kemajuan ke arah tujuan-tujuan yang ditentukan oleh mereka sendiri.
• Membantu klien menemukan alternatif-alternatif dalam mencapai tujuan-tujuan dengan syarat klien sendiri yang menetapkan tujuan-tujuan itu.
Mohd Salleh Lebar(1993), menyatakan matlamat terapi ini adalah untuk membantu klien menyedari bahawa kegagalan untuk menjaga diri menyebabkan seseorang itu akan menghadapi masalah. Dalam erti kata lain, terapi ini membantu klien agar berada dalam situasi yang rasional.
Muhd. Mansur Abdullah & Siti Nordinar Mohd. Tamin(1993) menyatakan bahaw matlamat terapi realiti ialah:
• Untuk mengurangkan tingkah laku ketewasan-kendiri yang tidak bertanggungjawab dan memperkembangkan imej-kendiri yang lebih positif.
• Membuat dan melaksanakan suatu rancangan bagi membolehkan klien mengalami kejayaan tingkah laku bertanggungjawab dan mula memperolehi sedikit deria kesejahteraan kendiri.
• Klien diharapkan dapat membuat kemajuan apabila tanggungjawab terhadap tingkah laku peribadinya dapat dilaksanakan dan apabila hajat itu dapat dipenuhi dengan tidak menyakiti diri sendiri mahupun orang lain.
Amir Awang (1987) telah menjelaskan beberapa matlamat terapi realiti. Antaranya ialah :
• Klien sendiri menentukan matlamat hidupnya secara bebas tanpa bergantung kepada orang lain. Iaitu klien harus berusaha untuk mencapai autonomi.
• Klien harus berupaya merancang strategi dan langkah-langkah tertentu bagi mencapai matlamat hidupnya.
• Kaunselor boleh mengemukakan syor-syor dan saranan-saranan berhubung dengan matlamat hidup yang bertanggungjawab dan realistik serta strategi-strategi yang boleh digunakan bagi mencapai matlamat tersebut. Dalam hal ini klien sendiri mesti menentukan apa yang baik bagi dirinya.


 Proses Kaunseling Dalam Terapi Realiti
Pietrofesa, J.J (1984), telah menjelaskan tentang proses terapi yang melibatkan beberapa kemahiran seperti konfrantasi, homor atau kecindan, perbincangan, penetapan matlamat, menunjukkan (pointing out), nasihat dan debat. Proses ini boleh dibahagikan kepada tiga prosedur:
i. Keterlibatan iaitu proses ini memerlukan kaunselor melibatkan diri dengan klien secara intelektual dan emosi. Kaunselor harus memahami dan menerima klien seadanya. Ini adalah untuk menjalinkan hubungan yang baik dan memudahkan proses kaunseling kemudiannya.
ii. Kaunselor mesti memberitahu klien sama ada tentang tingkah laku yang kaunselor tidak suka atau tentang penerimaannya sebagai individu. Ini memberitahu klien bahawa sikapnya yang tidak disukai dan bukannya sebagai orang atau individu.
iii. Kaunselor harus memberi arahan kepada klien untuk mencari jalan yang lebih baik bagi memenuhi keperluannya. Ini dapat dilakukan apabila klien mengaku bahawa sikap tidak bertanggungjawabnya adalah salah. Prosedur ini hanya dilakukan dengan syarat kaunselor mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk membantu klien.
Menurut Glasser(1992) dalam Pietrofesa, J.J (1984) menyatakan terdapat lapan langkah dalam proses terapi realiti :
Langkah 1 : Keterlibatan
Kaunselor mesti menjalinkan hubungan baik dengan
klien. Kaunselor hendaklah mesra , empati dan
dapat memberikan perhatian kepada klien.
Keterlibatan kaunselor hendaklah ada batasan
jangan sampai terperangkap.
Langkah 2: Fokus kepada tingkah laku semasa.Walaupun
tingkah laku dan perasaan saling berkait rapat,
namun tumpuan kaunselor hendaklah kepada
tingkah laku semasa klien.Tingkah laku diberi
tumpuan kerana ia merupakan perkara yang lebih
mudah diperbetulkan oleh klien.
Langkah 3: Fokus terhadap masa sekarang.
Terapi ini tidak melihat pengalaman lampau tetapi masa lampau hanya dibincangkan untuk membantu :
- Pembinaan sikap pengalaman lampau sebagai hubungannya dengan masa kini.
- Mengenalpasti alternatif yang membina untuk klien buat pilihan.
- Menentukan kenapa klien memilih tingkah laku yang tidak membawa beliau kepada lebih banyak masalah. Terapi ini percaya bahawa tingkah laku semasa dapat diubah.

Langkah 4 : Menilai kendiri
Klien diberi tanggungjawab menilai tingkah laku sendiri. Kaunselor
hanya memberikan perangsang dan panduan.

Langkah 5 : Membuat Pelan
Pelan dibuat untuk membantu klien. Alternatif dipilih dan langkah-langkah yang perlu untuknya mencapai objektif itu disenaraikan. Pelan ini dinilai dan disemak dari semasa ke semasa.
Langkah 6 : Komitmen
Langkah ini perlu ditekankan sewaktu pertemuan awal supaya apabila klien diminta menjalankan atau melaksanakan pelan perubahan tingkah lakunya maka dia sudah bersedia.
Langkah 7 : Tidak menerima sebarang alasan
Kaunselor tidak patut menerima sebarang alasan klien yang tidak dapat melaksanakan pelannya tidak juga harus memarahi klien. Kaunselor harus meminta klien membuat komitmen yang baru untuk memenuhi
tanggungjawabnya.
Langkah 8 : Hapuskan dendaan
Hukuman dan dendaan tidak termasuk dalam terapi ini tetapi adalah elok sekiranya klien dapat merasakan kerugian apabila dia gagal
menyempurnakan tanggungjawabnya terutama sekali dalam mengubah tingkah laku yang negatif.

Muhd Mansur Abdullah(1993), telah menjelaskan bahawa proses kaunseling terapi realiti adalah seperti berikut :
• Kehangatan hubungan kaunselor , pemahaman dan prihatin kaunselor terhadap klien.
• Pemusatan utama kepada tingkah laku.
• Penumpuan kepada masa kini. Masa lalu tidak boleh diubah lagi.
• Klien mesti membuat suatu penilaian dan mengenal pasti ketewasan kendiri, tingkah laku tidak bertanggungjawab sebelum terdedah kepada pertolongan kaunseling.
• Kaunselor membantu klien membina suatu perancangan mengubah tingkah laku . Adalah penting perancangan itu dibuat dalam bentuk bertulis.
• Kaunselor menolong klien membuat suatu penglibatan menyiapkan rancangan.
• Kaunselor menjelaskan kepada klien bahawa alasan tidak menyiapkan rancangan tidak boleh diterima.
• Kaunselor tidak menyalahkan klien sekiranya gagal.

Peranan Kaunselor
Corey , G. (1982), telah menjelaskan bahawa peranan kaunselor adalah seperti berikut :
• kaunselor berperanan sebagai guru dan model. Ia menerima klien secara mesra, empati dan penuh perhatian.
• Tugas utamanya ialah melibatkan diri dengan klien bagi membina hubungan yang baik supaya dapat menyediakan landasan yang betul untuk proses kaunseling seterusnya.
• Sebagai seorang pengajar , iaitu mengajar klien tentang teori kawalan , memberikan klien pilihan bertingkah laku dan sentiasa aktif semasa sesi kaunseling berjalan.
• Kaunselor mencabar klien dengan bertanya adakah perkara yang anda lakukan mendatangkan faedah atau manfaat kepadanya? Sekiranya klien merasakan atau sebaliknya maka kaunselor akan mencadangkan alternatif kelakuan yang lain.
• Membina struktur dan had sesuatu sesi.
• Membina rapport berdasarkan perhatian dan penghormatan.
• Memberikan tumpuan kepada kekuatan individu dan potensi yang dapat mengarahkan kepada kejayaan.
• Berbincang secara aktif tentang tingkah laku semasa dan tidak menggalakkan klien memberikan alasan tentang tingkah lakunya yang tidak bertanggungjawab.
• Memperkenalkan dan menggalakkan psoses menilai kehendak yang ingin dicapai secara realistik.
• Mengajar dan menggalakkan klien melaksanakan pelan tindakan untuk mengubah tingkah lakunya.
• Membantu klien mencari jalan untuk memenuhi kehendak mereka dan menggalakkan mereka agar tidak cepat putus asa.
E. Koeswara (1988), menjelaskan bahawa kaunselor bertindak sebagai pembimbing yang akan membantu klien agar dapat menilai tingkah lakunya sendiri secara realiti. Terapi ini juga berasumsi bahawa klien mampu mewujudkan kebahagiaannya sendiri dan mendapatkannya maka kuncinya adalah menerima tanggungjawab. Kaunselor juga harus berfungsi sebagai guru dalam menjalinkan hubungannya dengan klien dan mendedahkan kepada klien bahawa tujuan terapi ialah ke arah kebahagiaan
Ee Ah Meng (1997), menyatakan bahawa peranan kaunselor ialah :
• Melibatkan diri secara mendalam dengan klien.
• Kenalpasti jurang diantara tindakan klien dengan keperluan-keperluan dan nilai-nilainya.
• Tumpukan kepada tindakan (apa yang dibuat oleh klien) lebih daripada fikiran dan perasaan klien.
• Pastikan klien bertanggungjawab ke atas pilihan dan akibatnya.
• Wujudkan perhubungan yang terbuka, mesra, dan jujur dengan klien.
• Tumpukan pada tingkah laku sekarang.
• Berikan galakkan , pujian dan alternatif kepada klien.
• Lakukan konfrantasi sekiranya tingkah laku klien berbeza dengan percakapannya.
Mohd Salleh Lebar (1993), telah menjelaskan tentang peranan kaunselor seperti berikut :
• memberikan galakkan kepada klien.
• Menumpukan kepada tingkah laku.
• Lakukan konfrantasi jika tingkah laku klien berbeza dengan percakapannya.
• Wujudkan hubungan yang terbuka.
• Pastikan klien bertanggungjawab dengan pilihan dan akibat pilihan itu.
• Menumpukan kepada sesuatu tindakan daripada perasaan.

Teknik DanTatacara Terapi Realiti
Menurut Muhd. Mansur Abdullah (1993) , matlamat asas terapi realiti ialah menolong individu mencapai kuasa autonomi agar sampai kepada peringkat kematangan yang membolehkan seseorang itu melepaskan dirinya daripada sokongan persekitaran dan menggantikannya dengan bantuan dalaman. Kematangan ini menunjukkan bahawa manusia berkemampuan memikul tanggungjawab untuk dirinya sendiri dan untuk apa yang mereka mahukan serta untuk membina tanggungjawab dan perancangan-perancangan yang realistik bagi mencapai dan memenuhi matlamat mereka ” .
Bagi membantu manusia untuk mencapai matlamat dalam hidup mereka dan menerangkan cara-cara untuk mencapaikannya maka terapi realiti telah menggunakan teknik-teknik tertentu yang berbentuk tingkah laku. Di antarannya ialah :
1.Menjadi model atau contoh: Dalam teknik ini kaunselor mestilah menjadi contoh teladan atau model yang berperanan sebagai seorang pendidik. Sebagai pendidik, kaunselor cuba menolak tingkah laku klien yang negatif tanpa meminggirkan klien tersebut. Kaunselor perlu mengajar klien dengan cara yang lebih berkesan bagi memenuhi kehendak klien berdasarkan realiti. Tindakan ini membolehkan klien menghadapi kenyataan dan menyedari akan tingkah lakunya yang tidak realistik.
2. Kelucuan : Kaunselor akan bersikap lucu dan tidak terlalu serius. Ini bermakna kaunselor akan melihat sesuatu situasi dari sudut yang melucukan dengan tujuan untuk meringankan tekanan atau bebanan yang dihadapi klien.
3. Konfrantasi : Kaunselor akan berdepan atau mencabar klien tanpa membenarkan klien memberikan alasan-alasan tertentu. Kaunselor juga boleh menggunakan cemuhan-cemuhan dan kritikan yang boleh memeranjatkan klien di dalam usaha untuk mencabar tingkah laku yang tidak realistik. Situasi ini dapat memberikan respon kepada klien memikirkan tentang dirinya secara realistik.
4. Main Peranan(Role play) : Kaunselor akan menggunakan komunikasi dalam main peranan bersama klien. Dalam permainan tersebut kaunselor akan cuba memberikan penekanan pada ‘di sini’ dan pada ‘ketika ini’ dan elakkan daripada memberi penumpuan kepada peristiwa-peristiwa yang lampau dan perasaan-perasaan yang tidak baik.
5. Tindak balas : Kaunselor akan meminta kepada klien melihat tingkah lakunya sebagai satu cara untuk klien menerima sesuatu tanggungjawab. Kaunselor akan bertanya kepada klien adakah tindakan itu sesuai dengan klien dan adakah cara itu berfaedah kepadanya. Dalam hal ini klien hendaklah menentukan sama ada hendak mengubah tingkah lakunya atau sebaliknya.
6. Penglibatan : Kaunselor akan melibatkan diri secara langsung dengan menggunakan kata-kata seperti ‘ saya mementingkan anda, saya bertanggungjawab pada anda’. Tingkah laku yang ditonjolkan oleh kaunselor perlulah sejajar dengan kata-kata yang telah dilafazkan itu. Kaunselor harus melibatkan diri dengan klien dalam usaha mencari arah tuju kehidupan atau mencari jalan yang baru bagi mencapai kehidupan klien yang lebih berjaya dan bermakna.
7. Kontrak(Perjanjian) : Kaunselor dan klien perlu membuat perjanjian. Sekiranya perlu perjanjian itu boleh dilakukan dalam bentuk tulisan dan ditandatangani oleh klien. Biasanya dalam perjanjian terdapat peraturan-peraturan tertentu maka dalam membuat peraturan tersebut klien libatkan diri dengan kaunselor. Kaunselor juga perlu menyemak kemajuan klien dan berikan pujian mengikut situasi yang perlu.Sekiranya rancangan yang dirancang agak sukar dilaksanakan maka perlu buat rancangan yang baru. Bagi pihak klien kegagalan rancangan tersebut tidak perlu dihukum atau didenda.
8. Formulate ‘Menghasilkan satu rangka kerja yang spesifik’ : Dalam hal ini kaunselor perlu membuat satu rancangan untuk mengubah tingkah laku klien. Klien boleh ditanya adakah cara yang lebih baik baginya untuk membuat sesuatu untuk ubah tingkah lakunya. Kaunselor boleh membantu klien membuat perancangan dan dalam merancang , berikan kebebasan klien memilih alternatif yang disukainya. Rancangan itu hendaklah berbentuk ‘bagaimana’ dan ‘bila’ klien akan melakukannya dan dibuat secara positif.


Aplikasi Terapi Realiti Dalam Kaunseling
Terapi realiti ini adalah sangat mudah dan boleh diaplikasikan dalam banyak bentuk perkhidmatan kaunseling , misalnya kaunseling individu dan kelompok, kaunseling kanak-kanak, remaja, dewasa, ibu bapa, keluarga, perkahwinan, kaunseling krisis, pemulihan, pencegahan, kerjaya dan sebagainya.
Menurut Glasser (dalam Muhd. Mansur Abdullah 1993:) terapi ini berjaya diaplikasikan di sekolah-sekolah budak nakal dalam bentuk proses pemulihan. Oleh itu ianya sesuai dipraktikkan ke dalam perkhidmatan kaunseling pemulihan.
Konsep terapi ini tidak menerima alasan dari luar maka klien harus dipaksa atau terpaksa menerima tanggungjawab terhadap tingkah lakunya sendiri. Justeru itu, klien perlu menilai tingkah laku , membuat pilihan dan keputusan sendiri sama ada mencapai matlamat atau sebaliknya. Sekiranya belum mencapat matlamat maka klien harus bertanggungjawab berusaha mencari jalan bagi mendapatkannya.
Dalam kaunseling kerjaya , terapi ini sangat sesuai diaplikasikan memandangkan bahawa ianya berfokus kepada minat,bakat atau potensi dan kelayakan klien itu sendiri. Tambahan pula ianya dilakukan dalam jangka masa yang pendek iaitu memfokuskan kepada permasalahan kesedaran tingkah laku dan tidak memberi peluang untuk klien menghuraikan peristiwa masa lalu.