Selasa, 6 Mac 2018

Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah



i)             BIODATA DAN SEJARAH HIDUP
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah (8 Februari 1903 hingga 6 Disember 1990) merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1955 dan menjadi Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang teragung. Dikenali sebagai “Tunku”, beliau juga dikenang sebagai “Bapa Kemerdekaan” dan “Bapa Malaysia” di atas usaha dan sumbangan Tunku dalam proses memerdekakan negara kita.
Dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang dikenali sebagai Istana Pelamin, Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-24. Bondanya Cik Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang Pegawai Daerah Thailand. Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana beliau bukan bakal pengganti Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah, Sultan Badlishah Ibni Sultan Abdul Hamid, telah berumur 30 tahun ketika itu. Semasa kecil, Tunku dipanggil ‘Awang’ kerana rupa parasnya yang tidak sesegak adik-beradiknya yang lain dan kulitnya yang agak gelap. Beliau bebas bermain di luar istana dan pernah membentuk pasukan bola sepak kampong. Tunku biasa mengendap burung dan melastik serta bermain lumpur sehingga menghidapi penyakit puru di kakinya.
Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan Mariam, seorang wanita kacukan Cina-Siam yang merupakan anak perempuan tauke lombong di Alor Setar. Beliau dikurniakan dengan dua cahayamata, iaitu Tunku Ahmad Nerang Putra dan Tunku Khadijah. Mariam meninggal dunia pada tahun1934 kerana menghidapi penyakit malaria di Kuala Nerang , Kedah. Selepas kematian Mariam, Tunku berkahwin dengan Violet Coulson, bekas tuan rumahnya di England. Antara saksi perkahwinannya di Geylang Serai, Singapura ialah Syed Ahmad Al Sagoff. Sebenarnya, kerabat diraja Kedah dilarang berkahwin dengan wanita Inggeris kerana peristiwa penipuan Pulau Pinang oleh Kapten Francis Light, seorang Inggeris.
Tunku mengalami nasib yang sama seperti Tunku Yusuf Ibni Sultan Abdul Hamid. Dititahkan untuk menceraikan Violet oleh Pemangku Raja Kedah. Tunku kemudian berkahwin dengan Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, seorang saudara jauh yang juga merupakan adik Syed Omar Barakbah, rakan sekuliahnya di England pada tahun 1939. Perkahwinan ini direstui kerana berketurunan Arab yang ternama dan kaya di Kedah (Islam disamakan dengan Arab). Oleh sebab perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun, mereka mengambil tiga anak angkat iaitu Faridah, Mariam dan Sulaiman. Tunku juga telah mengahwini seorang yang berbangsa Cina pada tahun 1963 dengan rahsia dan telah mendapat dua orang cahaya mata perempuan yang diberi nama Tunku Noor Hayati dan Tunku Mastura.Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj ialah seorang pejuang kemanusiaan yang tulen dan berjiwa rakyat. Tunku antara pemimpin yang menyahut permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar misi pendamai dan keamanan ke Congo yang dilanda peperangan saudara. Beliau juga membangunkan rumah untuk membantu mangsa-mangsa pembinaan ‘Kereta api maut’ dan anak-anak yatim semasa pemerintahan Jepun.
Almarhum Tunku Abdul Rahman merupakan insan yang berperikemanusiaan serta ikhlas dan sewajarnya dikenang oleh rakyat kerana member keizinan kepada PERKIM Kedah menggunakan sebidang tanah kepunyaannya di kawasan Perbandaran Kota Setar, Alor Setar, Kedah. Di atas sebidang tanah inilah didirikan bangunan rumah pemulihan anak-anak yatim dan warga tua yang dinamakan Darul Aitam Wal Miskin. Tunku sering membantu rakyat miskin yang datang memohon bantuan kewangan, biasiswa pelajaran, perubatan dan pekerjaan. Kedudukan yang tinggi bukan penghalang untuk memisahkan Tunku dengan rakyat.Tunku juga merupakan seorang yang cinta akan perpaduan dan perdamaian. Bagi kemerdekaan negara harus dicapai dengan cara yang aman. Beliau pernah berkata;
“ kita percaya kepada kedamaian, objektif kita ialah menegakkan hak asasi manusia, mengenengahkan kepandaian untuk membangun, memelihara dan menegakkan kebebasab untuk berfikir”.
Sifat cinta akan perdamaian dan kesederhanaan inilah yang sentiasa diamalkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj sehinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada usia 87 tahun di Hospital Besar Kuala Lumpur. Pihak kerajaan telah mengiktirafkan ‘ Istiadat Pengebumian Negara’ kepada Tunku. Pada Disember 1990, jenazah Tunku telah diberi penghormatan terakhir oleh orang ramai di Dewan Bankusi, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Jenazah Tunku dikebumikan di Makam Diraja Langgar, Kedah. Pemergiannya merupakan suatu kehilangan yang besar dan jasanya sentiasa dikenang oleh rakyat Malaysia.
ii)            LATAR BELAKANG TOKOH DALAM ASPEK PENDIDIKAN DAN PEKERJAAN
Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj bermula pendidikannya pada tahun 1909  di sebuah sekolah rendah melayu di Jalan Baharu, Alor Setar. Biasa berbahasa Siam di rumah, beliau belajar Bahasa Melayu di sekolah itu. Seorang guru pula datang ke rumahnya untuk mengajar Bahasa Inggeris. Tunku kemudian berpindah ke sebuah sekolah kerajaan Bahasa Inggeris yang kini dinamakan Kolej Sultan Abdul Hamid. Di sini, Tunku belajar di sekolah pada waktu siang dan membaca Al Quran pada waktu petang. Pada tahun 1913 sewaktu Tunku berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf Ibni Sultan Abdul Hamid, abang sulungnya dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School).
Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan pendidikannya di Penang Free School. Antara guru yang mengajar Tunku ketika itu ialah H.R. Cheeseman dan S.M. Zainal Abidin. Tunku seorang yang aktif, beliau menyertai Pengakap dan Kor Kadet. Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pendidikannya  di Kolej St. Catharine di Universiti Cambridge. Beliau merupakan penuntut pertama layak  menerima pendidikan di United Kingdom di bawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah. Ketika Tunku tidak dibenarkan tinggal di asrama St. Catharine kerana Dasar Aparteid iaitu perbezaan warna kulit yang masih diamalkan. Beliau membantah kepada William Peel iaitu Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua sekolah itu terpaksa meminta maaf kepada Tunku.
Dari segi berpakaian, Tunku agak kebaratan. Semasa beliau dihantar ke England, tiada sepasang pun baju Melayu yang dibawa. Tunku dan keluarganya hanya menempah pakaian barat di kedai Pritchards di Pulau Pinang. Ketika di England, Tunku amat berlainan dengan Sultan Perak yang berbaju Melayu, siap dengan tengkolok. Mula-mulanya, Tunku mengambil jurusan undang-undang bersama rakannya, Ivor Jenning (Sir), H. V. Davies dan George Brown, tetapi kemudian bertukar kepada jurusan sastera (Sejarah). Beliau suka bersiar-siar dengan motosikal Riley Sport dan kereta mewah dan pernah melakukan 28 kesalahan trafik jalan raya semasa berada di Cambridge. Tunku tidak dapat memduduki peperiksaan akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera kerana terlupa jadual waktu peperiksaan. Dengan bantuan dan kerjasama daripada sahabatnya, Taib Andak, beliau memperolehi ijazahnya pada tahun 1925.
Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu. Beliau lulus semester pertama dalam jurusan undang-undang di Inner Temple pada tahun 1930. Selepas kepulangannya, Tunku bertugas sebagai Pegawai Latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah pada tahun 1931 dan dilantik sebagai Pegawai Jajahan untuk Kuala Nerang pada tahun berikutnya. Beliau dipindahkan ke Pulau Langkawi pada tahun 1935 oleh Clayton, Penasihat British pada masa itu. Pada tahun 1937, Tunku bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani disamping berperanan sebagai Hakim Daerah dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani. Sebuah masjid di Sungai Petani telah dinamakan Masjid Rahmaniah sempena nama Tunku.
Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga untuk menyambung pelajaran undang-undangnya. Antara temannya ialah Sardon haji Jubir. Beliau kembali ke Kedah pada tahun 1939 kerana terdapatnya berita bahawa perang akan meletus di Eropah. Pada tahun 1940, Tunku dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah. Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Syah, ayahandanya yang ketika itu berumur 80 tahun sewaktu Pegawai British hendak membawanya ke India. Bagi beliau tidak wajarlah seseorang sultan melarikan diri dari tanahairnya semasa peperangan. Berpakaian Tentera Utara Australia, Tunku menculik ayahanda yang ketika itu bersama dengan Syed Abu Bakar Al Idrus, seorang Merinyu Kesihatan Kedah dan menyembunyikannya di Sedim dekat dengan Kulim di bawah jagaan Penghulu Wahab. Tunku Badlishah, pemangku Raja Kedah tidak berpuas hati dengan tindakan Tunku yang membelakangkannya sebagai bakal pengganti Sultan Kedah. Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid di bawa ke Alor Setar. Jepun mengiktiraf baginda sebagai Sultan kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabenor dan Tentera Jepun. Sultan Abdul Hamid meninggal dunia pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku kekal sebagai Pegawai Jajahan Kulim tetapi ditemani oleh Otaha, seorang Pegawai Jepun yang pernah menjadi tukang gunting di pecan Alor Setar.
Tunku menyambung semula pendidikannya di Inner Temple pada tahun 1947. Sewaktu tempoh itu, Tunku bertemu dengan Abdul Razak Bin Hussein. Beliau dipilih sebagai Presiden untuk Persatuan Pelajar Melayu British dan Abdul Razak yang berumur 26 tahun ketika itu telah dipilih sebagai setiausaha. Semasa itu juga Tunku menyertai Persatuan Pelajar India Islam yang menuntut kemerdekaan India. Beliau juga berkempen untuk Lyold George Jurith, seorang calon Parti Liberal. Tunku akhirnya dilayakkan menjadi peguam pada tahun 1949. Seorang yang bersemangat kesukanan. Tunku memulakan pertandingan bola sepak antarabangsa yang digelar Pesta Bola Merdeka pada tahun 1957. Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai Presiden pertama untuk Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebuah jawatan yang beliau memegang sehingga 1976.
Pada tahun 1930, Almarhum Tunku Abdul Rahman pulang ke Tanah air. Tunku telah menyertai Perkhidmatan Awam Kedah sebagai seorang Kadet di Pejabat Penasihat Undang-Undang. Semasa menjadi Kadet, Tunku telah membantah tindakan kerajaan British yang ingin menyatukan perkhidmatan kastam di seluruh negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat. Tindakan ini menyebabkan negeri Kedah tidak mempunyai kuasa untuk mengutip wang cukai barang-barang masuk dan keluar.
Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj ditukarkan ke Kulim, Kedah sebagai Penolong pegawai Daerah. Tunku juga dilantik memegang jawatan Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am (A.R.P) pada tahun 1940. Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj melancarkan Operasi Menyimpan Padi  dan  mengarahkan orang kampong membuat kawasan tempat tinggal penduduk sebagai kawasan Jelapang Padi bagi mengelakkan masalah kekurangan makanan. Tindakan ini menyebabkan Kedah tidak kehabisan bekalan makanan apabila tentera Jepun menyerang Kedah semasa Perang Dunia Kedua. Semasa pemerintahan Jepun, Tunku Abdul Rahman telah diberi jawatan sebagai Penyelia Pelajaran Negeri Kedah. Pada tahun 1948, setelah menamatkan pengajiannya dalam jurusan Undang-Undang, Tunku dilantik sebagai Pendakwaraya dalam Perkhidmatan Kehakiman di Kuala Lumpur.
Selepas kemerdekaan, Tunku mendominasikan politik Malaya dan memimpin Parti Perikatan kemenangan besar dalam pilihanraya umum pada tahun 1957 dan 1964. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaian Tunku yang teragung. Tunku pertama sekali mencadangkan sebuah Persekutuan Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei, beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Bagaimanapun, faktor-faktor perkauman bertambah buruk dengan pemasukan Singapura yang menaikkan bahagian kaum Cina sehingga hampir-hampir 40 %. Kedua-dua UMNO dan MCA berasa tegang terhadap daya tarikan Parti Tindakan Rakyat (PAP pada waktu itu, diperlihatkan sebagai sebuah parti sosialis yang radikal) Lee Kwan Yew kepada pengundi-pengundi di Malaysia. Untuk mengatasi kebimbangan itu, Parti Perikatan mencuba membentuk sebuah parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee Kwan Yew di sana.  Sebagai gerak balas, Lee Kwan Yee mengancam bahawa PAP akan menyertai Pilihan Raya Persekutuan 1964 di Malaya, walaupun terdapatnya perjanjian awal bahawa beliau tidak akan berbuat demikian. Ini membangkitkan kemarahan Tunku yang mendesak supaya Singapura meninggalkan Malaysia.
Pada 7 Ogos 1965, Tunku mengumumkan kepada Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur bahawa Parlimen harus mengundi untuk menyokong peninggalan Singapura daripada Persekutuan. Dalam perkataannya, Parlimen harus memilih untuk memutuskan semua pertalian dengan sebuah Kerajaan Negeri yang tidak mempertunjukkan sebarang kesetiaan kepada Kerajaan Pusat berbanding kaedah yang tidak diingini untuk menindas tindakan PAP. Pemisahan dan kemerdekaan Singapura menjadi rasmi pada 9 Ogos 1965.
Pada tahun 1961, Tunku menubuhkn Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang mengabungkan Malaya, Thailand dan Filipina. Perkumpulan ini kemudian digantikan dengan perkumpulan yang lebih besar, iaitu Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 8 Ogos 1967. Dalam Pilihan Raya Umum 1969, majoriti Parti Perikatan dikurangkan dengan hebat. Perhimpunan tunjuk perasaan yang mengikuti pilihan raya itu mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei di Kuala Lumpur. Sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Abdul Razak kritis terhadap cara pengendalian krisis itu oleh Tunku dan MAGERAN, sebuah jawatan kuasa darurat mengambil alih kuasa dan mengisytiharkan keadaan darurat. Kuasa Tunku sebagai Perdana Menteri dibatasi secara besar dan pada 22 September 1970, beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tunku kemudian meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO pada Jun 1971 di tengah-tengah penentangan hebat oleh ‘ Turki Muda’ yang terdiri daripada penentang-penentang parti seperti Dr.Mahathir Mohamad dan Musa Hitam. Pasangan itu kemudian masing-masing menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Pada tahun 1977, setelah memperolehi sebahagian besar hak milik The Star, sebuah syarikat surat khabar yang berasaskan di Pulau Pinang, Tunku menjadi pengerusinya. Ruang-ruangnya ‘Mengenang Kembali’ (Looking back) dan ‘Sebagaimana Yang  Saya Perlihatkan’ (As I See It), kritis kepada kerajaan  dan pada tahun 1987, Perdana Menteri Dr. Mahathir mengharamkan surat khabar itu.
Ini menyebabkan perpecahan di dalam UMNO antara Tunku dan Bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn menubuhkan sebuah parti baru yang digelar “UMNO Malaysia”, tetapi pendaftarannya dibatalkan oleh Dr. Mahathir yang menubuhkan Umno baru. Tunku kemudian menyokong Semangat 46 yang merupakan kumpulan serpihan UNMO yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau berkempen dengan cergas untuk Semangat 46 dalam Pilihan Raya Umum 1990, tetapi sewaktu itu, kesihatannya telah merosot. Dalam tahun-tahun terakhirnya, Tunku tinggal di sebuah rumah di Pulau Pinang. Beliau meninggal duni pada 6 Disember 1990 ketika berumur 87 tahun dan disemadikan di Makam  Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah Darul Aman.
 ASPEK KAJIAN
i)             PERANAN DAN SUMBANGAN
Selepas Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj kembali ke Malaya pada tahun 1949,Tunku ditugaskan untuk bekerja di sebuah Pejabat Pegawai Undang-Undang di Alor Setar. Beliau kemudian meminta berpindah ke Kuala Lumpur di mana beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Seksyen. Dalam tempoh itu, semangat nasionalisme bertambah hebat di kalangan kaum Melayu di tengah – tengah pengisytiharan penubuhan Malayan Union oleh British. Datuk Onn Jaafar mengetuai Pertubuhan kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menentangi Malayan Union dan Tunku menyertai UMNO. Pada Ogos 1951, suatu krisis di dalam UMNO memaksa Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan Tunku dilantik sebagai presiden yang baru. Beliau memegang jawatan itu selama 20 tahun.