Khamis, 11 September 2014

NATURE ( SEMULAJADI) VS NURTURE ( PENDIDIKAN / PERSEKITARAN / PEMUPUKAN)



NATURE(SEMULAJADI / BAKAT)  VS  NURTURE (PENDIDIKAN/ PEMUPUKAN /PERSEKITARAN)

PENGENALAN
Bakat dan Pendidikan adalah unsur dalam elemen penting seseorang manusia. Sedar atau tidak kedua-dua saling melengkapi, cuma yang membezakan adalah yang mana lebih menonjol. Kalau kita lihat kepada aspek penting dalam Pendekatan Kewujudan ada menyatakan menerima reality bahawa manusia sebenarnya tidak static sebaliknya sentiasa muncul, menjadi dan mencipta kendirinya.

Pendekatan  ini mengesyorkan agar manusia sedar terhadap kendirinya serta mampu membuat keputusan sendiri. Manusia hanya perlu menilai kepentingan pendidikan dan bakat mereka untuk membantu kelancaran kehidupan mereka.Pelbagai cara digunakan untuk membantu klien untuk mengenalpasti kelebihan mereka melalui proses kaunseling. Menurut Shetzer dan Stone ( 1980) menjelaskan bahawa proses kaunseling adalah sesuatu proses pembelajaran yang dijalankan untuk menolong seseorang dengan individunya yang memerlukan bantuan untuk mengenali alam sekitarnya dengan lebih jelas dan terang. Melalui pembelajaran inilah seseorang itu mempelajari keadaan dirinya secara mendalam.

Malahan dalam Teori Pemusatan Insan menurut Suradi Salim (1996) berpendapat sifat manusia mempunyai sifat-sifat positif dan mempunyai keinginan untuk berfungsi  penuh, iaitu hidup dengan seberapa berkesan yang boleh. Jika seseorang itu dibenarkan untuk berkembang dengan bebas, dia akan berkembang dengan sempurna dan akan menjadi individu yang positif dan berjaya. Pandangan seseorang tentang dirinya dalam konteks persekitarannya menentukan tingkahlakunya dan kepuasan peribadinya. Jika diberikan atau disediakan dengan persekitaran yang menggalakkan, manusia akan berkembang dengan yakin kea rah nirwana kendiri dan menjadi apa sahaja yang diinginkan.















BAKAT SEMULAJADI (NATURE)
Menurut kamus dewan (1994), bakat merupakan kebolehan semulajadi atau orang yang mempunyai kebolehan semulajadi.Perkembangan dalam satu bidang akan mempergaruhi perkembangan dalam bidang yang lain. Umpamanya , perkembangan aspek komunikasi yanng optimum akan mempertingkatkan kemahiran sosial si anak. Ini kemudiannya akan mempengaruhi kemahiran inteleknya , meningkatkan daya kreatif dan menonjolkan bakat semulajadi yang diwarisi dari ibu bapa atau nenek moyangnya.

Faktor -faktor yang mempengaruhi perkembangan dan tingkah laku seseorang kanak -kanak itu bolehlah dibahagikan kepada dua , iaitu faktor persekitaran luar dan faktor dalam diri si anak itu sendiri. Persekitaran luar merangkumi suasana di mana si anak diasuh dan berkait rapat dengan faktor -faktor seperti taraf sosioekonomi , budaya serta hubungan dengan adik -beradik serta kawan -kawan di sekelilingnya , peralatan di rumah atau di sekolah dan media massa. Faktor dalam diri sendiri termasuklah taraf kesihatan , taraf pemakanan pengamatan atau persepsinya terhadap dunia luar , pengamatan terhadap diri sendiri (sama ada dia berasa rendah diri atau sebaliknya ) , dan ciri -ciri serta bakat semula jadinya yang sedikit sebanyak terdapat dalam baka yang diwarisinya .
Setiap komponen yang memain peranan dalam mempengaruhi perkembangan dan tingkah laku seseorang kanak -kanak itu perlu difahami oleh ibu bapa. Mereka perlulah bijak mengenal pasti ciri -ciri kekuatan yang ada pada anak mereka di samping menumpukan perhatian pada sebarang kelemahan yang ada pada seseorang kanak -kanak itu boleh diatasi atau sekurang -kurangnya diperbaiki dengan menggunakan strategi -strategi tertentu.
Kekuatan atau bakat yang dikenal pasti boleh dipupuk dan dipertingkatkan lagi dengan memberi galakan serta peluang untuk si anak itu meningkatkan potensinya . Setiap pemgalaman yang memberinya kepuasan dan kejayaan akan menambahkan lagi perasaan yakin pada diri sendiri dan ini pula akan memberinya lebih kekuatan untuk berhadapan dengan cabaran -cabaran baru yang bakal menguji daya inteleknya . Keupayaan intelek (intellectual capacity ) seseorang itu adalah kurniaan Allah s.w.t yang tiada siapa boleh memahami.

Amalan, sikap serta nilai-nilai yang ada pada ibu bapa banyak dipengaruhi oleh orang tua mereka sendiri. Mereka harus memikirkan sama ada ciri-ciri ini sesuai dengan keadaan, masa dan juga sifat-sifat yang terdapat pada anak mereka. Umpamanya, mendisiplinkan anak dengan cara merotan mempunyai kesan yang negetif terhadap anak itu. Sebaliknya, banyak kaedah positif lain yang boleh meningkatkan daya pemikiran dan kematangan sosial sianak. Caragayanya keibubapaan sudah semestinyalah sedikit sebanyak akan mempengaruhi seseorang anak apabila dewasa dan seterusnya menjadi ibu atau bapa pula. Kajian menunjukkan bahawa ramai ibu bapa yang sewaktu kecilnya menjadi mangsa penganiayaan orang tua mereka cenderung untuk menganiayai anak-anak mereka sendiri.

Keperluan dan citarasa seorang kanak-kanak berubah dari semasa ke semasa. Umpamanya, jenis makanan yang digemarinya akan berubah-ubah mengikut seleranya. Corak pakaian, permainan dan cara berkomunikasi dengannya juga perlu diubahsuai mengikut kematangan fikirannya. Tingkah lakunya sering berubah-ubah.Tabiat yang dianggap lazim pada satu peringkat usia mungkin tidak manis atau tidak lagi sesuai apabila umur meningkat. Umpamanya, tabiat menghisap jari biasanya akan hilang dengan sendirinya bagi kebanyakan kanak-kanak tetapi jika ia berterusan sehingga usia enam tahun keatas, ini mungkin ada kaitannya dengan suasana yang kurang selesa baginya. Ibu bapa boleh menolong mengikis tabiat anak yang kurang manis jika mereka mengetahui asas kelakuan yang ditunjukkan serta kaedah modifikasi tingkahlaku.















PENDIDIKAN / PEMUPUKAN ( NURTURE)
Pendidikan mempunyai impak yang besar ke atas pelbagai peluang kehidupan manusia untuk memperolehi dan mengekalkan kualiti kehidupan. Pendidikan boleh menjelaskan keupayaan seseorang individu dalam mengurus hidup yang berkualiti kerana faktor ekonomi dan sosial bergantung kepada pendidikan yang diterima.  

Pendidikan berkualiti sangat efektif bagi menentang kemiskinan, membina demokrasi, dan membentuk masyarakat yang sejahtera. Ia juga memberi kuasa kepada individu, memberi mereka suara, mendedahkan potensi mereka, menunjukkan jalan ke arah penyempurnaan diri, serta meluaskan pandangan dan pemikiran individu kepada dunia tanpa sempadan. Melalui pendidikan, individu berupaya membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan dunianya, menikmati kemudahan yang ada dipersekitarannya, serta memahami diri sendiri.  Pendidikan bertindak sebagai pemangkin kesejahteraan hidup dengan cara memimpin individu ke arah sumber-sumber ekonomi yang mantap, keupayaan kawalan diri, dan kestabilan hubungan sosial.  

Pendidikan yang berkualiti ini adalah satu konsep yang dinamik, berubah, dan berkembang mengikut masa serta berubah dalam konteks sosial, ekonomi, dan persekitaran setempat. Kualiti hidup merupakan satu darjah kesejahteraan yang dirasai atau dinikmati oleh individu atau sekumpulan manusia (Ross dan Willigen, 1997) .  Kualiti hidup boleh dilihat daripada pelbagai perspektif, serta dapat didefinisikan dalam pelbagai cara.  Namun demikian, ia tidak boleh diukur secara langsung kerana kualiti hidup bukanlah satu konsep yang konkrit.  Kualiti hidup sangat tepat dilihat sebagai konsep yang tersusun untuk membentuk polisi dan tindakan bagi meningkatkan taraf kehidupan manusia.  Menurut Schalock (1996), kualiti hidup manusia boleh dibahagikan kepada lapan prinsip utama iaitu kesejahteraan emosi, hubungan interpersonal, kesejahteraan perkakasan, perkembangan personal, kesejahteraan fizikal, pembuatan keputusan, hubungan sosial, dan hak.  Untuk membina sebuah kehidupan yang berkualiti, peranan pendidikan amat penting.  Ross dan Wu (1996) melaporkan bahawa pendidikan mempunyai impak yang besar ke atas pelbagai peluang kehidupan manusia untuk memperolehi dan mengekalkan kualiti kehidupan.

Pendidikan adalah kunci utama 'pengeluaran' atau 'hasil' kehidupan.  Pelaburan dalam pendidikan yang bermula daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat pendidikan tertinggi mampu memperbaiki dan meningkatkan kualiti hidup seseorang.  Justeru itu, penyediaan individu sebagai tenaga kerja merupakan agenda utama pendidikan.  Hal ini kerana, pendidikan boleh menjelaskan keupayaan seseorang individu dalam mengurus hidup yang berkualiti kerana faktor ekonomi dan sosial bergantung kepada pendidikan yang diterima (Ross dan Wu, 1996).  Lemah dalam pendidikan akan mendorong individu untuk hidup dalam kemiskinan (Preston dan Elo, 1996) berbanding dengan individu yang mempunyai kemahiran literasi yang tinggi dalam pendidikan (Lucas, 1972).

 Pelajar dari keluarga yang berpendapatan yang rendah didapati lebih cenderung untuk gagal atau bermasalah di sekolah berbanding dengan pelajar yang datang dari keluarga yang berpendapatan tinggi atau baik.  Pelajar ini juga cenderung untuk terlibat dalam tingkahlaku devian serta mempamerkan kualiti hidup yang rendah (Preston dan Elo, 1996). Jelasnya, pendidikan berupaya mempengaruhi kualiti hidup.  Hal ini terbukti apabila diselidiki daripada keputusan peperiksaan pelajar, pengukuran kognitif pelajar, serta pasaran buruh selepas tamat persekolahan (James dan Beckett, 2000; House, Lepkowski, Kinney, Mero, Kessler, dan Herzog, 1994). Pendidikan berkualiti sangat efektif bagi menentang kemiskinan, membina demokrasi, dan membentuk masyarakat yang sejahtera (Preston dan Elo, 1996). Pendidikan yang berkualiti juga memberi kuasa kepada individu, memberi mereka suara, mendedahkan potensi mereka, menunjukkan jalan ke arah penyempurnaan diri, serta meluaskan pandangan dan pemikiran individu kepada dunia tanpa sempadan (Tribus, 1992).  

Pendidikan yang berkualiti merupakan suatu konsep yang dinamik, berubah, dan berkembang mengikut masa serta berubah dalam konteks sosial, ekonomi,  dan persekitaran setempat. Pendidikan berkualiti menggunakan pendekatan kemahiran-hidup dalam pendidikan dan memasukkan kemahiran lain dalam mengorentasikan pendidikan untuk memperolehi keseimbangan. Mempelajari pelbagai kemahiran akan menyediakan individu untuk lebih berjaya dalam kehidupan di rumah, komuniti, serta di tempat kerja.  Manusia, sebaik-baiknya menggunakan multi-kemahiran ketika melaksanakan aktiviti harian; berhubung dengan ahli keluarga dan masyarakat; serta bertindak sebagai individu, ahli dalam sesuatu kumpulan, dan pekerja sesebuah organisasi.  Dengan adanya pendekatan kemahiran-hidup dalam pendidikan, para pelajar lebih peka kepada perkembangan ilmu, mengguna dan mempraktikkan pelbagai jenis kemahiran sesuai dengan tuntutan persekitaran pembelajaran tersebut.  Memiliki dan mempraktikkan kemahiran dengan betul sangat penting untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa.  Justeru itu, individu memerlukan kemahiran dalam setiap empat ruang pendidikan iaitu belajar untuk mengetahui, belajar untuk melakukan, belajar untuk hidup bersama orang lain, dan belajar untuk menjadi seseorang.  Selain itu, setiap individu juga memerlukan kemahiran kognitif, tumpuan, pengurusan- diri, dan sosial.  Kemahiran hidup membolehkan individu untuk menghubungkan apa yang mereka ketahui dan lakukan sekarang dengan apa yang boleh mereka ketahui dan lakukan dimasa hadapan (McLeod dan Shanahan, 1996).






















KONSEP SEMULAJADI/ BAKAT DAN PENDIDIKAN/ PEMUPUKAN (NATURE VS NURTURE)

Konsep ini juga sebenarnya boleh dianggap sebagai.Keadilan Pendidikan dan Kepelbagaian Kecerdasan Manusia Bidang pendidikan merupakan tulang belakang dalam menentukan keutuhan sesebuah tamadun manusia. Pendidikan yang adil dapat memberi jaminan kepada kejayaan dalam sesuatu sistem pendidikan. Pada tahun 1983, Howard Gardner dari Harvard University, Amerika Syarikat telah mengutarakan suatu konsep yang berteraskan kepada ‘pendidikan yang adil’ melalui teorinya yang dikenali sebagai teori Kecerdasan Pelbagai (Theory of Multiple Intelligences). Teori ini menghampiri konsep pendidikan Rasulullah s.a.w. yang menghargai perbezaan individu. Menurut teori ini, setiap individu memiliki lapan
jenis kecerdasan iaitu kecerdasan verbal-linguistik, logikal-matematikal, visual-ruang, muzikal, kinestetik, naturalistik, interpersonal dan intrapersonal.

Gardner (2005) juga membuat satu spekulasi tentang wujudnya kecerdasan yang kesembilan iaitu ‘existential intelligence’ yang beliau gelarkan sebagai ‘intelligence of big questions’. Malahan beliau sendiri tidak menghalang sesiapa yang ingin menambah sebarang kecerdasan lain yang dirasakan sesuai seperti kecerdasan emosi dan spiritual.

 Sehubungan itu, Teori Kecerdasan Pelbagai ini mempunyai beberapa kelebihan yang tertentu. Antara kelebihan yang boleh dikenal pasti ialah; (i) membantu pelajar memahami kemampuan (kecerdasan) mereka sendiri dan kemampuan orang-orang di sekeliling mereka, (ii) memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar tentang menggunakan sepenuhnya kekuatan (kecerdasan) dalam diri mereka dan membaiki kelemahan diri mereka, (iii) membina keyakinan diri pelajar, dan (iv) menyediakan untuk pelajar satu pembelajaran yang sukar dilupakan dan dengan itu juga membantu pelajar untuk belajar dengan lebih baik. Dengan menghargai kekuatan dan kecerdasan yang dimiliki oleh individu tertentu, teori ini jelasnya menuntut setiap individu pelajar diberi peluang untuk berjaya dalam bidangnya yang tertentu.

Menurut Gardner (1991), pendidikan yang berasaskan kepelbagaian kecerdasan lebih berkesan berbanding pendidikan yang menekankan kepada dua kecerdasan asas iaitu kecerdasan verbal-linguistik dan kecerdasan logik-matematik, yang secara langsung atau tidak langsung telah lama ditekankan secara meluas di semua negara. Perkara ini berlaku disebabkan pendidikan yang berasaskan kepelbagaian kecerdasan boleh mengembangkan lagi bakat dan potensi pelajar. Jika selama ini kita hanya mementingkan kefahaman tentang teori tersebut di dalam dewan-dewan kuliah untuk tujuan peperiksaan semata-mata, maka kini telah sampai masanya kita beralih kepada aspek pelaksanaannya pula. Kalau di Barat telah ada projek yang mengaplikasikan teori ini atas sekolah-sekolah tertentu, maka kita di Malaysia juga perlu mengadakan satu bentuk pengaplikasian yang sama dalam konteks negara kita. Sejumlah dana yang mencukupi diperlukan untuk membiayai projek ini dari semua segi bermula daripada pembiayaan tenaga pakar, penggubalan kurikulum, prasarana, pelajar, guru dan sebagainya. Walaupun belanja yang diperlukan adalah besar, namun kejayaan projek ini berpotensi menghasilkan insan yang berkualiti tinggi yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.


Sarjana-sarjana Islam menekankan bahawa sarjana-sarjana Barat bukanlah semuanya ‘pengasas sebenar’ sesuatu konsep atau teori yang ada pada hari ini. Seyyid Hossein Nasr (1994, dalam Rohana Kamaruddin, Kamisah Osman & Tajul Ariffin (2005) menyatakan bahawa sebenarnya dunia Barat sering mengambil elemen-elemen tertentu daripada sains Islam dan kemudiannya diolah semula dan dicorakkan mengikut ‘worldview’ .

Barat yang bersifat sekular dan mekanistik. Menurut Gamal (2003), Ibnu Khaldun contohnya pernah terlebih dahulu menyentuh tentang beberapa jenis kecerdasan iaitu alaql at-Tamyizi (discerning intellectual), al-aql at-Tajribi (experimental intellectual) dan al-aql an-Nazari (speculative intellectual). Al-Aql at-Tamyizi ialah akal yang dapat merasai benda-benda yang berada di luar daripada diri seseorang itu serta ciri-ciri benda tersebut sehingga seseorang itu mampu pula mengambil sesuatu yang manfaat atau menghindari.

Pada satu pihak banyak ciri-ciri manusia dipengaruhi oleh keturunan. Contohnya warna mata anda dipengaruhi oleh keturunan (lebih kurang 90 peratus). Dengan itu, kita boleh katakan bahawa sebahagian besarnya dipengaruhi ileh keturunan berbandingan dengan faktor persekitaran. Namun begitu ketinggian juga boleh dipengaruhi oleh pemakanan, hormon-hormon pertumbuhan dan intervensi persekitaran yang lain. Ciri-ciri yang lain seperti pembawaan dan perasaan malu adalah sangat dipengaruhi oleh perwarisan.

Pemupukan (persekitaran) di mana seseorang individu itu membesar dan berkembang adalah memainkan peranan yang penting dalam membentuk diri dan tingkah laku seseorang individu itu. Contohnya dari mula lahir sehingga berumur 8 tahun, persekitaran sangat penting. Banyak faktor-faktor persekitaran memainkan peranan penting dalam perkembangan awal kanak-kanak termasuk pemakanan, kualiti persekitaran, rangsangan otak hubungan kasih sayang dengan keluarga atau ibu bapa dan peluang-peluang pembelajaran. Keluarga, sekolah, masyarakat dan rakan sebaya juga memberi kesan kepada perkembangan (Morrison , 2001) menyatakan faktor semula jadi dan pemupukan adalah sama penting untuk pertumbuhan dan perkembangan yang normal. Interaksi di antara kedua-dua faktor ini telah menjadikan manusia seperti diri kita pada hari ini (Morrison,m.s:193- 195).










PANDANGAN TOKOH-TOKOH PENDIDIKAN  AWAL KANAK-KANAK  BERKAITAN KECERDASAN  SEMULAJADI  DAN  PENDIDIKAN.

Terdapat pelbagai falsafah dan pandangan dari tokoh-tokoh bagi mengendalikan pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak pada peringkat awal. Tokoh-tokoh pengasas pendidikan awal kanak-kanak adalah terdiri daripada;
1. Imam Al-Ghazali
2. Ibnu Khaldun
3. Johann Heinrich Pestalozzi
4. Friedrich Froebel
5. Maria Montessori

IMAM Al-GHAZALI

Dilahirkan pada 450 Hijrah bersamaan 1058 Masehi di sebuah kampung bernama Ghazalah Daulayah Qursan di Negeri Parsi. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali. Tahun 484 Hijrah beliau dilantik sebagai Naib Canselor Universiti dan pensyarah di Universiti Pengajian Tinggi Nizamiah. Pada tahun 489 hijrah, beliau meletak jawatan dan pergi ke Syria dan ke Mekah. Kitab beliau yang termashur ialah Ihya Ulumuddin.

Pandangan / Idea-idea beliau
Seorang kanak-kanak harus dididik sejak lahir. Seorang bayi jangan diberikan kepada orang lain menjaganya kecuali perempuan yang kuat agama dan mulia tingkah lakunya.Didik kanak-kanak dengan pelajaran agama, adab sopan, adab makan minum, mencuci badan, berwuduk dan bersembahyang.Didik kanak-kanak supaya memperolehi tingkah laku yang mulia, merendah diri, tidak berbohong, bersederhana dalam perlakuan, tidak boleh berkawan dengan orang jahat dan tidak berbangga.Bersikap tegas dengan kanak-kanak, jangan biasakan mereka bersenang-senang, jangan berseronok atau bermanja-manja apabila bergaul dengan mereka.Selain itu tidak boleh keterlaluan bila mendenda kanak-kanak. Jangan mencemuh dan menimbulkan kebencian mereka.

Malah perlu memperelokkan fitrah dan membentuk naluri mereka. Kanak-kanak harus disuruh bermain kerana main pada kanak-kanak dapat:
- Membantu perkembangan fizikal serta menguatkan otok mereka.
- Sifat semulajadi kanak-kanak memang suka bermain.
- Dapat menggembirakan mereka serta memberi kerehatan selepas penat belajar.

Nasihat beliau kepada guru supaya:
- Mengajar mengikut kemampuan kanak-kanak.
- Memperbaiki perlakuan dengan mesra bukan dengan cara menempelak mereka.
- Guru tidak perlu mengharapkan ganjaran tetapi perlu menunjukkan model tingkah laku yang baik.

 


IBNU KHALDUN

Ibnu Khaldun merupakan seorang pemikir Islam yang terakhir pada zaman pertengahan telah menasihatkan ibu bapa dan golongan pendidik.Beliau banyak memperkatakan mengenai persediaan untuk belajar, pemerhatian, motivasi, berusaha, pengukuhan, perbezaan individu dan latihan.

Pendapat beliau pada peringkat permulaan.Kanak-kanak jangan di ajar dengan perkara-perkara yang susah.Belajar daripada mudah kepada yang lebih susah secara:
- Berperingkat-peringkat
- Mengadakan latih tubi
- Menggunakan benda-benda maujud
- Menggunakan bahan-bahan bantu mengajar

Kanak-kanak jangan dibebankan dengan perkara-perkara yang diluar kemampuan mereka. Ini boleh menyebabkan mereka:Tidak mahu belajar dan mencerca pengajaran yang diberi .Beliau mencadangkan kanak-kanak di peringkat prasekolah hendaklah diberi contoh-contoh yang konkrit yang boleh difahami melalui pancaindera mereka.

Ibnu Khaldun juga menyarankan pembacaan Al-Quran harus diajar sebelum menghafalnya. Apabila sampai umur tertentu dan sesuai dengan daya pemikiran barulah diajar tafsir, hukum dan lain-lain.Jadual pembelajaran harus disusun dengan baik supaya kanak-kanak dapat memahami apa yang disampaikan.Kanak-kanak harus dibentuk dengan penuh kasih sayang, lemah lembut dan bertimbang rasa bukannya dengan cara kekerasan kerana ini boleh menyebabkan mereka menjadi pemalas, pembohong, berlagak untuk menyembunyikan yang sebenar, membuat tipu helah dan tidak berperikemanusiaan.Masa belajar jangan terlalu panjang kerana boleh menyebabkan lupa, sebaliknya dalam waktu yang pendek serta cara yang betul bagi mendapat hasil pembelajaran yang baik.

Bahasa adalah asas kepada semua kanak-kanak semasa pembelajaran. Mulailah dengan menulis dan membaca, kemudian kaitkan dengan makna.Pendekatan Ibnu Khaldun merupakan contoh pendekatan yang baik dalam membentuk peribadi kanak-kanak.

JOHANN HEINRICH PESTALOZZI (1746 – 1827)
Beliau dilahirkan di Zurich, Swizerland. Beliau membuka sebuah sekolah di ladangnya dikenali dengan nama “Neohof” pada tahun 1774. Di sekolah itu diintegrasikan kehidupan di rumah, pendidikan vokasional dan pendidikan untuk bacaan dan tulisan.

Berikut merupakan idea-idea beliau mengenai pendidikan:
-Anak-anak perlu dibimbing secara perlahan-lahan berdasarkan potensi yang ada padanya. Bimbingan itu perlu bermula daripada pengalaman deria kepada idea yang abstrak.
-Percaya bahawa pendidikan adalah diasaskan kepada pengalaman-pengalaman deria. Melalui pengalaman itu kanak-kanak tersebut boleh mencapai potensi mereka yang semulajadi.

-Beliau percaya pengajaran boleh dibentuk berdasarkan objek. Oleh itu, pembelajaran konsep hendaklah dengan melalui manipulatif seperti membilang, mengukur, merasa dan menyentuh.
-Guru yang baik ialah guru yang mengajar kanak-kanak bukan mengajar mata pelajaran.
-Beliau juga percaya kepada kumpulan pelbagai umur. (multiage grouping).
-Beliau yakin bahawa ibu adalah orang yang terbaik untuk mengajar anaknya.

4.4 FRIEDRICH FROEBEL (1782 – 1852)
Seorang tokoh pendidikan dari Jerman. Beliau digelar sebagai “Bapa Tadika”. Pada tahun 1837, beliau menubuh sekolah taman kanak-kanak yang dinamakan “Kindergarten”. Beliau adalah seorang yang kuat beragama dan menganggap manusia secara semulajadinya adalah baik dan dunia adalah tempat bekerja dan manifestasi terhadap Tuhan.


Menurut beliau “kanak-kanak umpama biji benih, ibu bapa dan pendidik umpama tukang kebun, kindergarten pula ialah taman untuk kanak-kanak. Oleh itu kanak-kanak perlu belajar dalam persekitaran yang terancang dan kanak-kanak berkembang melalui main”

Antara idea-idea Froebel ialah:
Taman kanak-kanak perlulah dipenuhi dengan keindahan untuk menarik perhatian kanak-kanak. Sekurang-kurangnya ia dicat dengan warna yang terang, mempunyai bilik yang senang dimasuki cahaya, dipenuhi dengan taman-taman, binatang dan gambar-gambar.
Dilengkapi dengan kerusi meja yang sesuai untuk kanak-kanak. Keadaan bilik janganlah sempit kerana menyusahkan perjalanan aktiviti.Kelas prasekolah perlu dipenuhi dengan pemandangan, bunyi-bunyian dan objek-objek untuk kanak-kanak yang mempunyai bentuk yang mudah, saiz dan warna.


Suasana di taman kanak-kanak hendaklah dapat mengawal kanak-kanak daripada pengaruh jahat yang terdapat dalam masyarakat dan bahaya alam semulajadi. Di taman kanak-kanak perlu dipupuk dengan perkembangan mental, fizikal dan sosial kanak-kanak. Taman kanak-kanak merupakan satu pendekatan terhadap latihan kanak-kanak. Pendidikan merupakan  pembinaan watak atau peribadi kanak-kanak. Ia hendaklah berdasarkan kepada keperluan dan keupayaan kanak-kanak.

Menurut beliau, kanak-kanak mempelajari sesuatu melalui perbuatan.  Ia perlu diberi kebebasan. Beliau menekankan kaedah bermain kepada kanak-kanak dan belajar melalui membuat. Beliau mencadangkan dalam mendidik kanak-kanak perlu menggunakan objek supaya menimbulkan minat dalam pembelajarannya. Beliau menekankan disiplin diri terhadap kanak-kanak dan motivasi dalaman adalah penting bagi kanak-kanak. Pembelajaran bukanlah sesuatu yang terpisah dan ia saling berkaitan antara satu sama lain.


MARIA MONTESSORI (1870 – 1952)
Merupakan tokoh pendidikan di Rome. Berpengalaman mendidik kanak-kanak yang terencat akal. Pada tahun 1899, beliau menubuhkan sekolah kanak-kanak cacat di Rome. Montessori menyokong Froebel dalam pendapat membenarkan kanak-kanak belajar melalui aktiviti bermain. Beliau mengutamakan latihan daya penglihatan, pendengaran dan sentuhan yang bertujuan bagi membolehkan kanak-kanak mendapat pengalaman dan latihan menggunakan deria dengan cekap. Beliau juga berpendapat dalam mendidik kanak-kanak ia mestilah menghormati kanak-kanak dan haknya. Oleh itu, persekitaran yang terancang, kemahiran hidup, disiplin diri dan arahan adalah prinsip penting dalam pendidikan kanak-kanak.Menurut beliau, pendidikan adalah untuk menolong kanak-kanak membentuk serta membantu perkembangan intelek, fizikal, sosial, emosi dan rohani.

Montessori mengemukakan beberapa konsep asas dalam pembentukan kurikulum kanak-kanak pada peringkat awal. Antaranya adalah konsep berikut;

a. Minda yang mudah menyerap
Menurut Montessori, minda kanak-kanak mudah menyerap sesuatu maklumat yang diterima melalui deria mereka, sebelum mereka bersedia untuk diajarkan konsep tersebut. Seorang kanak-kanak mula menyerap kejadian yang berlaku disekelilingnya dan menyusun pengalaman ini daripada saat kelahiran lagi.

b. Persekitaran yang tersedia
Persekitaran yang menggalakkan perkembangan kanak-kanak adalah persekitaran yang lengkap dengan pelbagai bahan yang akan menyokong pembentukan konsep dan pengetahuan kanak-kanak apabila kanak-kanak memerlukannya. Peranan guru adalah menunjuk ajar cara menggunakan bahan pembelajaran tersebut pada masa yang sesuai.


c. Didikan diri
Kanak-kanak mampu menjelaskan persepsi mereka dan menyusun pengalaman melalui aktiviti yang sesuai, apabila persekitaran mereka disusun secara lengkap dengan pelbagai bahan pembelajaran yang menarik. Kanak-kanak berkebolehan menyusun pengetahuan mereka apabila mereka terlibat dalam sesuatu aktiviti pembelajaran. Guru tidak perlu mengajar kanak-kanak secara formal. Guru hanya menunjuk ajar perlu mengajar kanak-kanak secara formal. Guru hanya menunjuk ajar dan membimbing mereka dalam pemilihan bahan dan aktiviti.

d. Bahan pembelajaran
Guru hanya menunjuk ajar cara yang “betul” bagaimana menggunakan bahan tersebut selepas kanak-kanak memilih aktiviti pembelajarannya secara bebas dan sukarela.   Mengikut Montessori,  matlamat kurikulum pada peringkat awal adalah bagi memajukan diri kanak-kanak daripada segi; penumpuan perhatian; kemahiran mmerhati dan meneliti; kesedaran berkenaan susunan dan peraturan; keseimbangan pergerakan; kesedaran persepsi dan kemahiran praktikal; konsep matematik; kemahiran bahasa; kemahiran menulis dan membaca; kebiasaan dengan seni kreatif; pemahaman berkenaan alam semulajadi; pengalaman dan pemahaman berkenaan sains social; pengalaman menggunakan kemahiran berfikir secara kritis melalui pengalaman menyelesaikan sesuatu masalah.

e.Tempoh sensitif
Tempoh sensitif adalah tempoh yang paling sesuai untuk kanak-kanak menguasai sesuatu kemahiran. Tempoh tersebut dapat dikesan apabila kanak-kanak menunjukkan kesediaan dan minat bagi mempelajari sesuatu kemahiran dengan sentiasa menanya soalan dan sentiasa tertarik bagi memerhati dan menyentuh sesuatu bahan pembelajaran.

Menurut falsafah Montessori; Ibu bapa patut diberi latihan dalam perkembangan kanak-kanak dan cara menggunakan pengetahuan ini dalam membimbing anak mereka.Terdapat tempoh sensitif yang merupakan masa paling sesuai bagi kanak-kanak menerima maklumat dan konsep tertentu. Tempoh sensitive ini berbeza mengikut kadar perkembangan seseorang kanak-kanak.

Kanak-kanak mampu melatih diri sendiri, dengan bimbingan yang minimum daripada orang dewasa.Kanak-kanak yang biasa berdikari dalam proses pembelajaran akan terus belajar secara demikian apabila dewasa kelak.Maklumat yang diterima melalui deria adalah maklumat asas dalam semua jenis pembelajaran.Bahan pembelajaran yang dibentukkan oleh Montessori melatihkan kanak-kanak berdikari dalam mengurus diri dan persekitarannya melalui pengalaman sebenar dan kegunaan bahan manipulatif dan “betul diri”.

Guru akan meningkat pengetahuan mereka melalui pengalaman dengan kanak-kanak.
Kanak-kanak memerlukan persekitaran dan alat pembelajaran yang tersusun dan bersaiz kanak-kanak.Guru perlu menyediakan persekitaran yang lengkap bagi membantu kanak-kanak belajar secara bebas.Peranan guru hanya membantu kanak-kanak, bukan memaksa ataupun menentu arah pembelajaran mereka.




KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, pendidikan memain peranan penting untuk mencapai hidup yang berkualiti kerana pendidikan merupakan antara petunjuk terpenting dalam kualiti hidup manusia.  Pendidikan mempunyai hubungan rapat dengan ilmu, dan ilmu dikenalpasti sebagai faktor 'hasil'.  Pendidikan membantu individu membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan dunianya, menikmati kemudahan yang ada dipersekitarannya, serta memahami diri sendiri.  Pendidikan juga bertindak sebagai pemangkin kesejahteraan hidup dengan cara memimpin individu ke arah sumber-sumber ekonomi yang mantap, keupayaan kawalan diri, dan kestabilan hubungan sosial.
Selain itu, bakat juga merupakan elemen penting dalam mencapai kejayaan, melalui bakat seseorang individu akan lebih berkeyakinan dan bersedia. Malahan melalui bakat juga , kita akan lebih cepat dalam mengetahui kelebihan kita sesuatu bidang. Kadangkala sesuatu kejayaan seseorang adalah bergantung bakat yang diwarisi oleh kekeluarga, contohnya dalam bidang perniagaan. Namun begitu gabungan pendidikan dan bakat, akan menyebabkan seseorang mencapai kejayaan yang lebih baik dan lebih cepat.






RUJUKAN
 Hapshah Md Yusof, Sapora Sipon. (2008) .Pengantar Kaunseling Individu. Arah Publication.

Morrison, G.S. (1995). Early childhood education today. Prentice Hall.Inc.

Patricia H Miller (1996), Theories of development psychology. W.H. Freeman and
Company N.Y.

Pusat Perkembangan Kurikulum (1998) Kurikulum pendidikan prasekolah Malaysia. PPK.

Ruhaya Hussin, Sapora Sipon. (2010) . Teori Kaunseling dan Psikoterapi Edisi Kedua.Universiti Sains Malaysia, Negeri Sembilan.


Rohaty Mohd. Majzub , Abu Bakar Nordin, (1989). Pendidikan prasekolah, Petaling jaya: Fajar Bakti.

Rohaya Hj. Yahya (1996). Kaedah Montessori. Kuala Lumpur: Utusan & Distributors Sdn.