Program ‘Saya Ingin Sentuh Anjing’ Di 1Utama
Semalam....macam-macam sekarang ni...
Semalam satu program unik telah diadakan di
Centre Park, 1Utama Shopping Centre dimana umat Islam berpeluang untuk
mengatasi rasa takut dengan anjing. Apa intipati program ‘I Want To Touch A Dog’ sebenarnya?
Program yang terbuka kepada semua tidak kira bangsa, agama dan usia ini membolehkan
orang Islam menyentuh,memegang dan memeluk anjing kemudian disertakan sesi
belajar cara yang betul untuk sertu/samak serta sesi temubual bersama Ustaz
Iqbal Parjin. Program yang diadakan selama dua jam ini dianjurkan oleh
Encik Syed Azmi yang sememangnya sinonim dengan kerja-kerja amal di sekitar
Lembah Klang.
Walau bagaimanapun, selepas program ini dianjurkan,
terdapat banyak kritikan daripada umat Islam yang lain dengan mengatakan yang
acara ini agak keterlaluan dan menghina Islam. Selain itu juga, ustaz dan
ustazah ada juga melontarkan pendapat yang berbeza sama mengenai program yang
dianjurkan buat pertama kali di Malaysia.
Memetik laporan sebuah portal, sebelum acara
bermula, sebuah forum memberi peluang kepada orang ramai membangkitkan kemusykilan
kepada seorang ustaz, seorang pemandu teksi berbangsa Melayu yang berpengalaman
mengendalikan anjing serta doktor haiwan.
Orang ramai turut diberi taklimat dan diberi tunjuk
ajar cara melakukan samak yang betul sekiranya ada yang was-was atau memegang
anjing dalam keadaan basah.
Dr Maza dan beberapa ustaz
lain turut memberikan pendapat di Facebook
Bolehkah
Muslim Menyentuh Anjing?
Ada pula yang cuba menyatakan haram
memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia najis haram dipegang, maka haram
juga seseorang menyentuh najis dirinya, ataupun anaknya ataupun sesiapa di
bawah jagaannya ketika membersihkannya. Haramlah juga mereka yang berkerja yang
membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun
nanah dan lain-lain. Begitu juga dengan doctor veterinar. Maka itu kesimpulan
hukum yang cetek. Maka TIDAK HARAM menyentuh anjing.
Najis boleh disentuh tetapi hendaklah
dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat.
Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak najis. Menyentuh anjing basah
khilaf pendapat dalam kalangan sarjana. Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini.
Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya
membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut
dalam hadis : “Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah
sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).
Mazhab
Malik bin Anas pula paling longgar dan luas berhubung dengan anjing. – Dr Maza
Pendapat Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani pula berbeza :
Tentang hukum memegang anjing, semua sedia maklum, bahawa ia merupakan
najis mughalazah yang perlu di samak apabila menyentuhnya segaja atau tidak
mengikut pandangan mazhab syafie, tetapi apakah agenda disebalik program yang digerakkan oleh Islam liberal itu?
sengaja membangkitkan sensitiviti umat Islam? hanya semata2 utk mengajar supaya
menyayangi binatang anjing itu? apakah agama yang indah ini mengajar
agar ummat ini mengajar begitu? saya melihat ada agenda Islam liberal yang
sedang dirancang utk merosakkan ummat ini.. pihak berkuasa, jika kalian tidak
mengambil tindakkan kepada penganjur program ini, saya bimbang untuk masa depan
ummat ini!! berbuatlah sesuatu agar mereka tercelik mata!!!
Pendapat
Ustaz Fathul Bari
Penjelasan @UstazFathulBari mengenai
kempen “I Want to Touch a Dog”
YB @n_izzah, bersikap ihsan kepada
haiwan sememangnya satu tuntutan dalam Islam termasuk berlaku ihsan ke atas
Anjing. Telah terbukti di dalam hadith yang sahih seorang pelacur tua telah
dimasukkan ke dalam syurga kerana memberi minum seekor anjing yang kehausan.
Namun, kempen “I Want to Touch a Dog” bukanlah cara yang dimaksudkan oleh Nabi
sallallahu alaihi wasallam.
“Ketika seekor anjing berpusing
mengelilingi sebuah perigi dan hampir mati kerana dahaga, seorang pelacur
daripada suku Bani Israil melihatnya. Lalu dia menanggalkan kasutnya dan
memberi anjing tersebut minum dengannya. Maka Allah mengampunkan dia kerana
perbuatannya itu.” [Hadith Riwayat al-Bukhari di dalam kitab Shahihnya, hadis
no: 3467]
Bersikap ihsan bukan bermaksud
membela ataupun membelai. Sebaliknya ia bermaksud menjaga hak-hak haiwan
trsebut. Sebagai contoh, apabila sakit ianya dirawat, apabila lapar diberi
makan. Bagi orang Islam, anjing tidak boleh dijadikan “pets”, dibelai-belai,
dimanja-manjakan, berbeza dengan kucing.
“Kucing ini tidaklah najis.
Sesungguhnya kucing merupakan haiwan yang sering kita jumpai dan berada di
sekeliling kita.” (HR. At Tirmidzi, Abu Daud, An Nasa’i, Ibnu Majah, Ad Darimi,
Ahmad, Malik. Syaikh Al Albani dalam Irwa’ul Gholil no. 173 mengatakan bahwa
hadits ini shahih)
Islam menetapkan kucing adalah haiwan
peliharaan dan disifatkn dekat dengan manusia tetapi bukan anjing. Namun, kita
diizinkan pelihara anjing dalam dua keadaan sahaja iaitu:
1. membela anjing untuk menjaga
keselamatan
2. membela anjing untuk memburu
2. membela anjing untuk memburu
Selain daripada itu, tidak pernah
diizinkn oleh syariat. Saya menyokong sepenuhnya apa yang dilaksanakan oleh
sahabat saya salah seorg Doctor Pakar di pusat perubatan swasta yang mengadakan
rawatan percuma ke atas anjing-anjing pemburu masyarakat orang asli yang
cedera. Perbuataan ini dikategorikan bersikap ihsan kepada anjing. Saya juga
bersetuju diajarkan cara “sertu” menurut Islam. Namun,apa perlu “SENTUH ANJING”
utk di “SERTU”. Itu persoalannya.
Soal tazkirah dlm program tersebut
,tidak menjadi masalah. Saya bukan anti anjing, Tapi saya cuba sampaikan kepada
YB perspektif syariat dalam isu ini. Umat islam tak perlu ‘support’ kempen
seperti ini. Walaubagaimanapun,saya tidak bermaksud KESELURUHAN KEMPEN ino
menyalahi ISLAM. Tp,apa yg saya maksudkan adalah “kenapa perlu adalan kempen
menyentuh”? Sekadar nak ajar bersuci @ sertu silakan. Sebaliknya umat Islam
perlu ‘support’ kempen “Ihsan” kepada haiwan secara keseluruhannya termasuk
anjing dan lain-lainya. Ini membuktikan ke-universal-an Islam.
Adakah selepas ini akan ada program
“I Want to Touch a Pig” ?
Allahua’lam
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapa dilaporkan berkata pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung anjuran tersebut yang dianggap tidak sepatutnya berlaku.
Kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak penganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini, katanya Islam di Malaysia yang berpegang teguh kepada mazhab Syafie sudah jelas memperincikan bahawa anjing dan babi itu tergolong dalam najis berat.
"Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan ia merupakan kali pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama sudah menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing.
"Jakim akan segera menyiasat perkara ini dan sebarang tindakan akan dirujuk pada peruntukan yang ada," katanya dipetik laporan Bernama. – 20 Oktober, 2014.