Khamis, 24 Julai 2014

ULASAN JURNAL



TUGASAN 1 : ULASAN JURNAL

PENGENALAN

Dalam jurnal pendidikan ini membincangkan proses kaunseling yang digunakan dalam pengendalian masalah pelajar di Institut Pengajian Tinggi. Tujuan perkhidmatan kaunseling  ialah untuk membantu pelajar menangani isu-isi  penyesuaian seperti akademik , peribadi, social , masalah psikososial  yang memerlukan intervensi kaunseling klinikal dan kerjaya. Dua kajian kes yang dipilih adalah berfokus kepada masalah pengendalian kebebasan. Data diperoleh melalui pemerhatian, laporan kaunseling dan temu bual yang dirakamkan dalam lima sesi kaunseling .Data daripada temu bual telah dianalisis dengan cara mendengar kembali, menulis verbatim dan mengkategori. Data temu bual ini telah dibandingkan dengan laporan bertulis kaunselor untuk melihat keselarasan maklumat yang diperoleh. Dapatan menunjukkan kedua-dua klien yang dikaji didapati terlalu seronok dengan kebebasan, mempunyai konflik dengan keluarga, mempunyai masalah pergantungan dengan rakan sebaya dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar. Disamping itu, faktor latar belakang yang dikenal pasti ialah kurang mendapat kebebasan sebelum ini, mempunyai bapa yang garang, dan merupakan anak tengah. Proses kaunseling yang dijalankan melibatkan latihan ketegasan diri dan kaunseling keluarga. Pendekatan kaunseling yang dijalankan telah menunjukkan hasil yang positif di mana klien kembali mendapat keyakinan diri, mendapat celik akal tentang hubungan kekeluargaan serta mendapat sokongan keluarga dan membina tingkah laku yang lebih berkesan.




METODOLOGI KAJIAN
Pengkaji telah menggunakan kaedah pemilihan sampel bertujuan. Proses kaunseling individu dijalankan dengan dirakam dalam lima sesi. Kes studi ini telah dijalankan terhadap dua klien yang berusia 19 dan 20 tahun yang dikenal pasti telah berhadapan dengan isu kurang bijak menangani kebebasan di kolej. Klien-klien ini telah dibantu oleh kaunselor sehingga dapat menyelesaikan masalah mereka.
Klien 1
Klien satu berusia 20 tahun adalah seorang siswi diploma dalam jurusan kejuruteraan. Beliau merupakan seorang pelajar yang cemerlang yang berasal dari sebuah kampung. Bapanya adalah seorang pesara kaki tangan kerajaan yang tegas dan garang. Semasa di kampung beliau tidak dibenarkan berkawan sehingga klien tidak mengenali rakan sekampung. Klien telah menyatakan beliau berasa terkongkong dengan disiplin yang ketat. Walaupun beliau berada di IPT dan tinggal di kamsis, bapanya terus menggariskan peraturan dan kawalan yang
ketat ke atasnya.
Klien 2
Klien dua berusia 19 tahun berasal dari sebuah kampung di negeri Pahang. Bapa beliau adalah seorang yang garang dan tegas. Klien melaporkan adik-beradik beliau juga merasa agak takut jika membuat kesalahan. Contohnya klien pernah diterajang oleh bapanya atas kesalahan yang dianggapnya sebagai satu kesalahan biasa sahaja.






INSTRUMEN KAJIAN
Data diperoleh daripada pemerhatian, laporan rekod kaunseling dan temu bual yang dirakamkan dalam lima sesi kaunseling untuk setiap klien. Data ini dianalisis dengan cara mendengar kembali, menulis verbatim, dan seterusnya mengkategorikan serta menjadualkan penyataan-penyataan yang berlangsung antara kaunselor dengan klien. Analisis verbatim ini dibandingkan dengan laporan bertulis kaunselor tentang sesi yang berlangsung untuk memastikan ketepatan rumusan-rumusan yang dipaparkan. Petikan interaksi dibuat agar menjurus kepada persoalan kajian secara sistematik dan hasilnya dapat memberi maklumat yang bermakna.

DAPATAN KAJIAN
Soalan Kajian 1: Isu sosial yang dihadapi oleh klien remaja yang kurang bijak menangani kebebasan di IPT.Sesi kaunseling telah dapat mengesan beberapa isu sosial yang dibawa oleh pelajar-pelajar ini. Pembentukan identiti merupakan faktor utama dalam isu menangani kebebasan. Kedua-dua klien ini hilang identiti diri sebagai individu yang sihat apabila terdedah kepada cabaran-cabaran persekitaran. Perkara lain yang terjadi dalam hidup mereka ialah pertambahan pengaruh rakan dalam hidup mereka, terjejasnya nilai keluarga dan agama, dan seterusnya terjejas tanggungjawab sebagai pelajar (Zainal & Mohd Sharani 2004). Keadaan ini sama seperti yang dibincangkan sebelum ini oleh Mac Green dan Navaro (1998) yang menyatakan bahawa individu yang kurang tegas sering menjadi mangsa dalam hubungan yang tidak sihat, kurang keupayaan penyesuaian, mempunyai pasangan seksual yang bersilih ganti, dan berperasaan tidak selamat (takut ditinggalkan). Dapatan ini juga selari dengan perkembangan khidmat kaunseling di Turki seperti yang dilaporkan oleh Oya Yerin Guneri (2006) di mana masalah komunikasi, penyesuaian, dan hubungan romantik adalah cir iciri masalah pelajar kolej. Pelajar yang tidak mempunyai identiti diri yang sihatberpotensi bertemu dengan rakan sebaya bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala sosial.

Soalan Kajian 2: Ciri-ciri peribadi, keluarga dan persekitaran yang terdapatpada klien.Untuk memahami permasalahan klien, kaunselor mengkaji ciri-ciri personality dan latar belakang klien tersebut. Penggunaan genogram semasa sesi kaunseling (Charlotte 2001) menunjukkan kedua-dua klien ini berasal dari kampung yang terpencil serta mempunyai bapa yang garang dan mengongkong. Budaya tradisional Timur yang mementingkan kesopanan tidak membenarkan anak-anak muda kampung bercampur gaul dengan bebas antara jantina berlainan. Berada jauh dari keluarga telah membuatkan pelajar ini bebas bertindak. Bagaimanapun jika hubungan dengan keluarga positif, mereka akan menghormati nilai yang diterapkan oleh ibu bapa walaupun berjauhan dan berada di kalangan rakan sebaya (Brown et al. 1993; Mounts 2001; Santor, Messervey & Kusumakar 2000). Sebaliknya dalam kajian ini, kedua-kedua sampel menunjukkan hubungan yang berkonflik dengan keluarga, oleh itu terdapat kecenderungan untuk mereka bertindak secara negatif dan memberontak bila berpeluang (Bartholomew & Horowitz 1991; Dishion et al. 1991; Fuligni & Eccles 1993; Jas Lailie 2002).Pengalaman pahit dengan keluarga menyebabkan pelajar berdendam dan sentiasa mencari peluang untuk membebaskan perasaan kecewa ini (Nor Ba’yah 2004), mencari kasih sayang dan rasa selamat di tempat lain (Bartholomew & Horowitz 1991; Rubiah 2001).





Petikan di bawah menggambarkan beberapa contoh cirri peribadi dan keluarga klien 1 dan 2.
Klien 1
“Ibu bapa saya tak benarkan saya berkawan dengan budak-budak lain dikampung tu. Sampai sekarang pun bapa saya masih nak kawal hidup
saya…”
 “Saya terpaksa tipu ibu bapa saya supaya tak perlu balik rumah waktu cuti semester..
Klien 2
“Saya pernah diterajang oleh bapa saya disebabkan satu kesalahan kecil”.
Soalan kajian 3: Pendekatan yang digunakan oleh kaunselor dalam membantu klien yang menghadapi masalah kurang bijak menangani kebebasan.Kaunselor telah menggunakan pendekatan yang agak berbeza dalam menangani kedua-dua klien ini.
Soalan Kajian 4: Apakah kesan yang dialami oleh klien dari aspek emosi, pemikiran dan tingkah laku setelah menjalani sesi kaunseling.Keberkesanan proses kaunseling boleh dinilai melalui aspek-aspek tingkah laku, pemikiran dan perasaan klien sepanjang sesi (Zuria 2005). Dalam kajian ini, kedua klien datang dengan rasa terdesak dan tertekan di samping mempunyai jangkaan yang negatif tentang kemampuan khidmat kaunseling untuk membantu mereka. Emosi yang diluahkan dapat dilihat melalui komunikasi verbal dan non verbal. Di antaranya emosi sedih, rasa kecewa, menyesal, bimbang dan sebagainya. Klien menunjukkan resah, bercakap dalam keadaan tersekat-sekat sambil menangis. Tindakan ini berkemungkinan terbina dari persepsi awal dan pemikiran yang tidak rasional terhadap diri dan sesi ini. Namun begitu kaunselor terus memberi harapan dan memberi peneguhan positif. Keupayaan klien untuk hadir berjumpa kaunselor dianggap satu kekuatan kerana inilah titik awal untuk merubah diri ke arah perkembangan diri yang positif.

PENDEKATAN
KLIEN 1
1. Temu duga bio-psiko-sosial
Borang bio-psiko-sosial menunjukkan klien tiada masalah psikologikal yang kronik, ataupun masalah salah guna alkohol dan dadah. Beliau menghadapi gangguan psikologikal seperti
kemurungan, rasa bersalah yang berpanjangan dan estim kendiri yang rendah.
2. Membina hubungan dan mengenal pasti masalah klien
Kaunselor memulakan sesi dengan menyambut kehadiran klien dengan tangan yang terbuka dan situasi yang ceria serta menerima klien tanpa syarat. Kaunselor telah menjemput klien untuk bercerita tentang dirinya dan mewujudkan suatu hubungan yang empati. Teknik-teknik yang digunakan termasuklah; refleksi perasaan, mendengar dengan penuh minat dan empati, dan menggalakkan klien menyatakan masalah secara terbuka serta melakukan konfrontasi (Ivey & Ivey 2007) dalam membantu klien memahami makna kebebasan, konsep kendiri, serta ketegasan diri klien.
Contoh dialog yang menggambarkan bagaimana kaunselor cuba menyedarkan klien adalah seperti di bawah:
Kaunselor: Anda rasa bersalah kerana terlalu mengikut kawan walaupun sebenarnya anda tidak suka keadaan tersebut.
Klien: Saya tahu, tapi kenapa ye, saya masih still dengan dia, saya ikut sahaja kehendak dia. Dia suruh temankan dia saya temankan, suruh ikut dia saya ikut.
3. Penerokaan dan mencari alternatif
Hasil daripada penerokaan, kaunselor telah mengenal pasti klien mempunyai konsep kendiri yang rendah. Konsep kendiri yang rendah inilah yang menyebabkan beliau bertingkah laku pasif, terlalu bergantung kepada rakan-rakan serta sukar untuk membuat keputusan.

Klien: Saya perlukan rakan-rakan ni. Tapi mereka ni dah menyusahkan
saya.
Kaunselor meletakkan tanggung jawab kepada klien untuk melaksanakan tindakan dengan menekankan kepada aspek sikap toleransi, memberi kebebasan klien untuk berfikir, merasa dan bertindak. Klien juga digalakkan menjelajahi dan meneroka perasaan secara mendalam. Dalam proses kaunseling ini, klien telah dibimbing untuk membuat beberapa pilihan bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapinya.
4. Pembentukan matlamat
Pembentukan matlamat kaunseling sangat penting dalam memberi bantuan kepada klien. Matlamat kaunseling adalah mengikut kehendak klien dan bersesuaian dengan keadaan. Bagi klien satu penetapan matlamat kaunseling yang telah dipersetujui bersama ialah meningkatkan konsep kendiri dan membentuk tingkah laku tegas. Diharapkan selepas menjalani sesi kaunseling klien akan bertingkah laku dengan lebih tegas.
5. Latihan tegas diri
Dalam latihan tegas diri ini, klien telah diajar bagaimana untuk menyatakan pendapatnya dengan tegas tanpa rasa takut atau bimbang. Kaunselor juga mengulas pernyataan-pernyataan yang boleh dianggap sebagai responsrespons yang tidak tegas yang dilakukan oleh klien.
Kaunselor: Tegas diri bermaksud kita menghormati, bukan menolaknya,dalam masa yang sama kita menghormati hak kita sendiri. Ceritakan pada saya, jika kawan anda mengajak anda keluar, tapi anda terlalu sibuk dengan tugasan, apa yang akan anda lakukan?
Klien: Saya akan cakap minta maaflah, saya ada tugasan ni nak dihabiskan, bila saya siap tugasan ni, kita boleh keluar.



KLIEN 2:

1. Membina hubungan dan mengenal pasti masalah klien
Klien sedang mengandung anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki. Bagi memberi keyakinan kepada klien, kaunselor menerima klien tanpa syarat dan menunjukkan empati. Oleh kerana keadaan klien yang kritikal secara fizikal dan daripada perspektif budaya masyarakat, serta masalah disiplin dengan pihak kolej, kaunselor telah meminta kebenaran dari klien tersebut untuk menghubungi keluarganya untuk mendapatkan sokongan.

2. Membina hubungan dengan keluarga yang paling rapat dengan klien
Kakak klien adalah ahli keluarga yang paling rapat dengannya. Oleh itu, kaunselor telah menghubungi kakak klien melalui telefon dan menyatakan perkara yang sebenar. Pengalaman dalam kes yang dibentangkan oleh Terry (1989) menjadi panduan bahawa sistem sokongan sangat penting dalam mengendalikan kes-kes begini. Selepas itu klien pula diberi peluang untuk menyatakan sesuatu kepada kakaknya. Kaunselor meminta kakak beliau untuk berbincang dan menceritakan peristiwa ini kepada kedua ibu bapa klien. Keluarga tidak digalakkan datang terus selepas sahaja menerima berita ini kerana ditakuti keluarga terlalu dipengaruhi emosi dan berkemungkinan akan lebih memburukkan lagi keadaan.
3. Membina hubungan dengan ibu bapa klien
Kaunselor menerima kehadiran keluarga klien dengan tangan yang terbuka dan tanpa syarat. Mereka terdiri daripada ibu, bapa, kakak dan abang ipar klien. Kaunselor tidak mempertemukan ahli keluarga dengan klien pada sesi ini. Kaunselor sekali lagi menunjukkan rasa empati pada ahli keluarga kerana sedang berdepan dengan tekanan dan krisis, iaitu ketelanjuran klien. Kaunselor memfokuskan kepada peranan, struktur dan gaya komunikasi keluarga serta pembentukan personaliti dan tingkah laku klien. Keluarga juga mengaku terdapat masalah dan ketidakfungsian keluarga sebelum ini. Hasil daripada sesi ini, ahli keluarga memahami dan menerima permasalahan yang berlaku. Keluarga juga dapat melihat kepentingan memperbaiki pola interaksi dalam hubungan kekeluargaan mereka. Walaupun ibu bapa klien berasa sangat kecewa dengan tingkah laku anak mereka, mereka menyatakan sanggup menerima klien kembali.
4. Membina alternatif dan tindakan
Dalam sesi ini kaunselor mempertemukan klien dengan keluarga. Kaunselor bersama ‘joining’ dengan ahli keluarga sama seperti salah seorang daripada mereka. Kaunselor menggalakkan klien berinteraksi secara terus dengan ahli keluarga bagi meluahkan isi hati dan harapannya agar diterima kembalioleh keluarga. Alternatif yang dibincangkan ialah i) masa depan kandungan klien, ii) masa depan klien sebagai pelajar, iii) pembentukan pola interaksi yang lebih berkesan antara klien dan keluarganya.Pembentukan pola interaksi yang lebih berkesan di sini telah melibatkan isu-isu hairaki kuasa, peranan sebagai ahli keluarga, sempadan keluarga, serta‘unbalancing the homeostasis’ (Minuchin 1974). Jika sebelum ini, bapa klien sangat garang dan sentiasa marah, beliau berjanji akan lebih bertenang dan menerima pandangan ahli keluarganya. Keluarga klien bersedia menerima klien dan anak yang bakal dilahirkan. Kaunselor dan pihak pengurusan jabatan pula berjanji membantu menguruskan masalah pembelajaran dan proses penangguhan sesi pengajian. Penggunaan sistem sokongan seperti keluarga, rakan-rakan dan personalia telah dibincangkan oleh Terry (1989).Klien yang bermasalah menangani kebebasan cepat mengalah dan merasa rendah diri. Pemikirannya tidak rasional dan hidupnya dirasakan penuh kesengsaraan dan cuma menjadi beban kepada ibu bapa dan masyarakat sekelilingnya. Inilah yang telah ditunjuk dan diluahkan oleh klien dalam sesi kaunseling. Apabila klien menghadapi masalah, ia merasa buntu dan tidak tahu di mana untuk mendapatkan pertolongan. Rasa bimbang dan takut untuk berkongsi masalah sering menghantui pemikirannya kerana pengalaman menyelesaikan masalah ialah dengan mendiamkan diri. Kefahaman klien terhadap punca masalah memberi celik akal bahawa merekatelah menyalahgunakan kebebasan. Kesungguhan klien membina matlamat yang ingin dicapai memberi keyakinan kepada mereka untuk berubah. Dalam kes klien dua, sokongan dari keluarga dan personalia kolej telah membantu klien melihat bahawa masih ada orang yang menyayangi walaupun beliau telah tersilap langkah. Klien telah belajar untuk bertanggungjawab ke atas dirinya dan menjadilebih produktif. Perubahan ke atas emosi, pemikiran dan tingkah laku klien pada akhir sesi kaunseling.

RUMUSAN
Secara kesimpulannya, merujuk kepada sesi berasingan kedua-dua klien menunjukkan punca-punca masalah mereka berpunca pada dari zaman kanak-kanak lagi,  kajian menunjukkan faktor keluarga seperti gaya asuhan, kasih sayang, dan kawalan memberi kesan terhadap pembentukan identiti kendiri remaja. Kecacatan dalam aspek kekeluargaan boleh menyumbang kepada ketidakupayaan remaja menangani kebebasan dan sehingga berlakunya tingkah laku devian.  Masalah pembinaan kendiri yang tidak sempurna memuncak bila pelajar berjauhan dari keluarga dan berada di kolej (Chandler & Gallagher 1996). Klien dalam kes yang dibentangkan ini telah berhadapan dengan masalah menangani kebebasan yang berpunca dari identiti kendiri yang rendah. Kaunselor telah membuat latihan ketegasan dalam membantu klien membina jati diri dan seterusnya mampu berhubung secara sihat dengan orang lain (MacGreen & Navaro 1998). Kaunselor juga telah menggunakan pendekatan systemic dengan mengatur pertemuan di antara remaja dan keluarganya untuk menyelesaikan konflik (Terry 1989). Kajian ini juga membuktikan bahawa rawatan kaunseling keluarga bukan sahaja dapat membantu pelajar secara individu tetapi juga memberi celik akal kepada keluarga. Perkhidmatan kaunseling secara profesional didapati meninggalkan kesan positif terhadap perubahan jangka pendek dan jangka panjang. Ini membuktikan bahawa para kaunselor mempunyai peranan yang penting dalam usaha mengurangkan punca gejala sosial. Perkhidmatan kaunseling ini perlu dikembangkan dengan pelbagai pendekatan bagi membantu remaja yang memerlukan sokongan emosi yang berterusan dalam menghadapi cabaran. Kaunselor boleh mewujudkan satu sistem rakan sebaya yang dapat memberi sokongan dan mendengar permasalahan remaja tersebut. Melalui sokongan ini remaja yang kurang bijak menangani kebebasan tidak akan merasa terasing, rasatidak diterima atau tidak diperlukan tetapi sebaliknya, mempunyai ruang dan tempat untuk bercerita dan mendapat maklumat bagaimana untuk mendapat pertolongan lanjut. Manusia memerlukan tempat meluahkan perasaan atau masalah mereka, jika mereka membendung tanpa dapat meluahkan makan perbagai tekanan yang akan mereka hadapi. Akibatnya akan muncul pelbagai tindakai diluar kawalan dan seterusnya menyebabkan mereka memberontak untuk menunjukkan perasaan tidak puas hati mereka kepada diri sendiri dan orang-orang yang berada di persekitaran.